MILIK sandaran Poland robek gawang Jerman.
MILIK sandaran Poland robek gawang Jerman.
Reuters

Evian, Perancis: Juara dunia Jerman sedar pertemuan dengan Poland awal pagi esok bukan sekadar perlu menumpukan kepada penjaring terbanyak Bundesliga Robert Lewandowski selepas menang 2-0 ke atas Ukraine.

Jerman yang bakal berdepan jiran mereka itu di Paris sedar, Poland juga mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama Kumpulan C apabila menundukkan Ireland Utara 1-0.

Poland diketuai Lewandowski yang menjaringkan 13 gol, sekali gus muncul penjaring terbanyak untuk negaranya pada kempen kelayakan. Mereka menamatkan saingan kelayakan di tempat kedua peringkat kumpulan, satu mata di belakang Jerman yang ditewaskan Poland buat kali pertama.

Lewandowski muncul penjaring terbanyak Bundesliga buat kali kedua musim lalu selepas meledak 30 gol pada saingan liga untuk menjulang piala domestik dan piala berganda bersama Bayern Munich.

“Poland lawan yang bagus, tapi jika kami menguasai perlawanan, saya percaya kami akan menang,” ujar pertahanan Jerman, Jerome Boateng.

“Tapi, kami perlu berhati-hati. Mereka mempunyai barisan penyerang yang bagus dan bukan hanya tertumpu kepada Lewandowski.”

Kapten Poland itu tidak menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan, sebaliknya penyerang berusia 22 tahun, Arkadiusz Milik yang meledak enam gol pada kempen kelayakan, menjaringkan gol tunggal ketika bertemu Ireland Utara.

“Mereka mempamerkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu. Banyak pemain mereka beraksi di luar selain dibarisi ramai pemain baru berbakat,” kata penyerang Jerman Lukas Podolski.

“Mereka lawan yang paling berbahaya pada saingan peringkat kumpulan. Saya harap kami dapat melangkah ke pusingan kedua dengan Poland di tempat kedua.

“Mereka mahukan keputusan lebih baik berbanding hanya beraksi di saingan peringkat kumpulan. Mereka mempunyai kualiti untuk mara ke pusingan kedua,” katanya.

Jurulatih Jerman Joachim Loew mungkin menurunkan Mats Hummels di benteng pertahanan, sekali gus menyaksikan Shkodran Mustafi yang menjaringkan gol ketika bertemu Ukraine mungkin direhatkan.

Loew juga mungkin membariskan penyerang Mario Gomez bagi menggantikan Mario Goetze yang dilihat tidak selesa di bahagian serangan ketika bertemu Ukraine.

Penjaga gol Poland Wojciech Szczesny berdepan kecederaan pada perlawanan pertama, tetapi dijangka dapat diturunkan awal pagi esok.

Jerman mungkin tewas kepada Poland pada kempen kelayakan, tetapi bagi Lewandowski, Jerman tetap pasukan yang kuat.

“Jerman pada pendapat saya pasukan pilihan untuk memenangi saingan kali ini. Kami sedar mengenai kekuatan mereka, tapi apa saja boleh berlaku.

“Kami perlu bertenang dan yakin dengan diri sendiri seperti ketika bertemu Ireland. Tidak perlu berdepan sebarang tekanan dan jika kami mempunyai peluang, ada harapan untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:21 AM