MBAPPE mengalami patah hidung ketika aksi sulung Perancis di Euro 2024. FOTO AFP
MBAPPE mengalami patah hidung ketika aksi sulung Perancis di Euro 2024. FOTO AFP
Reuters

Paderborn: Rakan sepasukan Kylian Mbappe berharap dia masih boleh beraksi pada pertembungan Euro Sabtu ini menentang Belanda selepas mengalami patah hidung semalam

Perancis tidak membuat sebarang pengumuman mengenai ketersediaan kapten mereka untuk perlawanan seterusnya di kejohanan yang berlangsung di Jerman itu tetapi laporan media Perancis mengatakan Mbappe bakal diketepikan.

Adrien Rabiot dan William Saliba, bagaimanapun, menyuarakan optimis pada sidang akhbar, tidak berputus asa berharap Mbappe boleh bermain walaupun mengalami kecederaan itu ketika mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Austria di Duesseldorf.

"Saya jumpa dia pagi tadi, dia dah sihat sikit. Dia pergi untuk melakukan ujian lain. Saya tidak tahu lebih lanjut. Tetapi apabila saya melihatnya pagi ini, dia lebih baik," kata pemain pertahanan Saliba kepada pemberita.

Rabiot memberikan contoh rakan sepasukannya di Juventus, Wojciech Szczesny, penjaga gol Poland yang juga mengalami patah hidung pada April lalu.

"Saya tidak tahu sama ada ia sama dengan Kylian. Dia menjalani pembedahan keesokan hari atau dua hari kemudian dan dia boleh bermain untuk perlawanan berikutnya," kata Rabiot.

"Itulah sebabnya apabila mereka memberitahu saya mengenai hidung Kylian yang patah, dalam kepala saya ia tidak begitu serius, kerana saya memberitahu diri saya bahawa dia boleh diturunkan dengan cepat."

Bagaimanapun, jika Mbappe tidak berjaya diturunkan, Rabiot berkata Perancis masih yakin dengan peluang mereka menentang Belanda, yang memenangi perlawanan pembukaan menentang Poland di Hamburg pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 8:29 PM