GABRIEL gembira dapat terus kekal bersama Arsenal. FOTO Arsenal FC
GABRIEL gembira dapat terus kekal bersama Arsenal. FOTO Arsenal FC
AFP

London: Pertahanan Arsenal Gabriel Magalhaes menandatangani kontrak jangka panjang bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Gabriel bersetuju melanjutkan kontrak selepas berunding dengan ejennya dan pegawai Arsenal di pusat latihan mereka.

Pemain berusia 24 tahun itu berpindah dari Lille pada 2020 dan tampil dalam 81 perlawanan untuk Gunners serta menjaringkan sembilan gol.

Dia kemudiannya menjadi tonggak di bahagian pertahanan Arsenal yang mencipta kejutan selaku pendahulu EPL musim ini.

Hanya Newcastle melepaskan kurang gol berbanding 10 gol dilepaskan skuad Mikel Arteta musim ini dengan Gabriel membina gandingan mantap bersama William Saliba.

"Gabi mempamerkan kualiti terbaik sejak menyertai kami. Dia pemain muda dengan etika kerja yang hebat. Prestasinya yang konsisten memberi impak penting kepada kami sejak dua musim lalu, " kata Arteta.

"Bekerja dengan Gabi pada setiap hari cukup menggembirakan. Dia membina hubungan kuat dengan setiap orang di kelab ini dan kami bangga dia dapat bersama kami untuk tempoh lebih lama."

Bercakap mengenai pandangannya bersama Arsenal, Gabriel berkata: "Ia menjadi impian saya dan hari ini yang terbaik dalam hidup saya. Saya gembira melanjutkan kontrak di sini.

"Penyokong sangat hebat setiap kali kami beraksi. Itu sebabnya mengapa saya sangat gembira kekal di sini. Arsenal adalah rumah saya. Saya mahu menang dan menjulang trofi bersama Arsenal."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 9:14 AM