PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi. FOTO ARKIB NSTP
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi. FOTO ARKIB NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang dilancarkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), malam tadi kini mengutip sumbangan RM20,552.33 setakat 5 petang hari ini.

Perkara itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi menerusi kenyataan ringkas.

"Untuk makluman semua, jumlah sumbangan diterima untuk Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula dari malam tadi sehingga 5 petang hari ini adalah sebanyak RM20,552.33.

"Terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti anda kepada pasukan Selangor FC.

"Kepada yang berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh scan (imbas) pada kod QR dipaparkan," katanya.

Semalam, MSNS melancarkan tabung solidariti itu dengan menyertakan kod QR bagi memudahkan sumbangan dilakukan.

Mohd Najwan berkata, hasil sumbangan itu akan diserahkan kepada Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang dijatuhkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:35 PM