PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi. FOTO FAIZ ANUAR
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kutipan Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang dilancarkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan diserahkan 100 peratus kepada Selangor FC.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, lebih RM40,000 dikumpul dalam tempoh kurang 48 jam selepas ia dilancarkan pada malam Rabu lalu.

"Apa yang kita dapat sehingga 2 Julai nanti akan diserahkan 100 peratus kepada Selangor FC, tidak ada sebarang caj pentadbiran dan sumbangan awam itu akan digunakan Selangor FC dalam proses mendapatkan keadilan yang lebih tinggi.

"Tabung solidariti ini bukan soal memberikan duit semata-mata, tetapi lebih kepada peluang serta ruang kepada peminat Selangor FC dan bola sepak negara untuk menzahirkan solidariti kepada Selangor FC.

"Sebab itu kita tidak menilaikan sumbangan diberikan dan kita galakkan sumbangan serendah RM1," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Najwa turut mengucapkan terima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mempertimbangkan semula hukuman terhadap Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 9:01 PM