SETIAUSAHA Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh (tiga dari kanan) dan Najwan (dua dari kiri) bergambar selepas sidang media Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 hari ini. FOTO Bernama
SETIAUSAHA Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh (tiga dari kanan) dan Najwan (dua dari kiri) bergambar selepas sidang media Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor akan menilai semula duti hiburan sebanyak 25 peratus membabitkan acara sukan yang dikekalkan sebelum ini sekali gus dilihat membebankan banyak pihak terutamanya penyokong.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu sememangnya berada dalam perhatian Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Selangor hanya bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas panggung wayang, taman tema dan konsert selama lima tahun berkuat kuasa bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

"Kita sedia maklum pendapat masyarakat tentang isu ini dan sekiranya ada keperluan, kita akan bawa ke peringkat Kerajaan Negeri untuk kaji dan bincang semua mekanisme terbaik untuk menyelaraskan cukai hiburan ini.

"Kalau kita ikutkan cukai hiburan ini ia melibatkan banyak cabang dan ia tidak tertumpu pada hiburan sahaja malah kepada panggung wayang, konsert dan juga taman tema dikenakan cukai.

"Di peringkat Kerajaan Negeri kita akan cuba untuk menyelaraskannya dan dari semasa ke semasa pihak Kerajaan Negeri akan umum segala bentuk perubahan.

"Buat masa ini, apa langkah yang dibuat peringkat persekutuan telah wujudkan akan menjadi salah satu penanda aras buat kita. Saya kira itu adalah penting untuk kita kaji semula.

"Seperti kita sedia maklum industri hiburan ini banyak menjana pendapatan negeri dan juga negara yang merangkumi acara sukan. Kita nak promosi sukan di Selangor dan menjadikan ia satu tarikan pelancongan sukan.

"Di situ kita nampak ada keperluan dan kita akan menilai serta menyelaraskan cukai hiburan ini dengan lebih baik. Jika ada keputusan nanti, ia akan diumumkan sendiri oleh Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari)," katanya.

Beliau berkata demikian hari ini ketika merasmikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang bakal berlangsung dari 13 hingga 18 Februari di Pusat Konvensyen Setia City.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat tahun lalu berkata kerajaan bersetuju menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.

Ia termasuklah pengurangan 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

Perdana Menteri berkata, pengurangan 5 peratus duti hiburan turut diberi kepada taman tema, pusat rekreasi keluarga, permainan 'indoor' dan 'simulator'.

Justeru Perdana Menteri pada ketika itu menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat kreatif tempatan di samping merancakkan aktiviti pelancongan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 3:59 PM