PEMERHATI bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa. FOTO ARKIB NSTP
PEMERHATI bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Solidariti serta sokongan oleh peminat seluruh negara terhadap situasi dihadapi Selangor FC ketika ini memberi isyarat jelas kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa jangan sesekali membuat keputusan tidak masuk akal.

Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa berkata, apabila peminat daripada pasukan lain sanggup bersama-sama memberi sumbangan untuk meringankan kewangan Selangor FC membayar denda, itu jelas sekali bahawa MFL sudah melakukan satu tindakan kurang bijak sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Selain itu, beliau berpendapat MFL seperti tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam aspek perniagaan apabila melepaskan berpeluang untuk menjana keuntungan bagi ketiga-tiga pihak.

"Itu adalah isyarat jelas kepada MFL dan FAM bahawa mereka akan keseorangan.

"Saya rasa sokongan diberikan masyarakat seluruh Malaysia dan peminat bola sepak menunjukkan isyarat bahawa MFL bertindak secara terburu-buru tanpa memberi ruang kepada Selangor untuk berikan pendapat di hadapan jawatankuasa MFL.

"Saya rasa MFL seolah-olah tidak mempunyai pengetahuan dalam aspek perniagaan yang boleh menguntungkan tiga pihak antaranya JDT (Johor Darul Ta'zim), Selangor FC dan MFL.

"Perlawanan ini boleh diadakan di stadium berkecuali dan kapasiti lebih besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan itu akan mengurangkan kerugian pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sadek berkata, MFL boleh bersiap sedia untuk menjawab serta memberikan jawapan di mahkamah sekiranya pasukan Gergasi Merah benar-benar membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi.

"Solidariti untuk menyumbang (duit) saya rasa peminat bukan setakat sumbangan, tapi mereka akan hadir memenuhkan stadium dalam setiap perlawanan di gelanggang sendiri adalah satu contoh bahawa mereka menyokong tindakan dilakukan Selangor FC.

"Begitu juga apa yang dilakukan penasihat Selangor FC, Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan MFL dan FAM).

"Saya rasa dalam kenyataan Stuart (Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam) memaklumkan Selangor FC perlu lalui proses rayuan dan tidak boleh terus ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sivil. Saya rasa itu bergantung kepada Selangor untuk buat rayuan terus ke timbang tara atau proses mahkamah.

"MFL tidak boleh mendesak untuk Selangor buat proses rayuan ini. MFL kena bersedialah untuk berhujah di mahkamah," kata Sadek.

Terdahulu, pelbagai pihak tampil dengan melancarkan bantuan untuk membantu Selangor FC membayar denda RM100,000 kepada MFL.

Antara yang tampil adalah kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC), beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor selain peminat sendiri menyatakan kesanggupan untuk bersama-sama Gergasi Merah dalam isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:26 PM