NAJWAN Halimi ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua (Bajet) Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini. FOTO BERNAMA
NAJWAN Halimi ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua (Bajet) Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kontinjen Selangor menyasarkan kedudukan ketiga teratas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang akan berlangsung tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Najwan Halimi, berkata sasaran yang dibuat oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) itu berdasarkan pemantauan serta penilaian atlet sepanjang tempoh persediaan.

"Kita sudah melihat keadaan dan potensi semasa setiap atlet, melalui pemantauan serta penilaian sepanjang tempoh persediaan yang dilaksanakan.

"Melalui penyertaan kejohanan lain sebelum ini, pihak MSN Selangor merasakan kemampuan untuk berada di kedudukan tiga terbaik pada temasya SUKMA 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Pada penganjuran SUKMA edisi ke-21 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah.

Untuk rekod, Selangor pernah menjuarai SUKMA di Sarawak pada tahun 2016.

Dalam pada itu, Najwan berkata, MSN Selangor sudah merangka plan stategik bagi memastikan program persediaan atlet dan pasukan sejak awal tahun ini.

"Program pembangunan sukan dan persediaan Sukma dibahagikan kepada tiga kategori iaitu program khas atau elit, pelapis, dan bakat.

"MSN Selangor juga membuat lantikan jurulatih berkelayakan dalam dan luar negara bagi memastikan program latihan atlet dan pasukan berjalan dengan sempurna," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Belanjawan Selangor 2024 yang dibentangkan Oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari minggu lalu memperuntukkan RM8 juta sebagai persediaan kontinjen menghadapi Sukma tahun depan di Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 6:37 PM