MBAPPE memperlihatkan kemahirannya ketika sesi latihan walaupun memakai topeng pelindung hidung. FOTO AFP
MBAPPE memperlihatkan kemahirannya ketika sesi latihan walaupun memakai topeng pelindung hidung. FOTO AFP
Reuters

Dortmund, Jerman: Perancis semakin hampir ke pusingan 16 terakhir di Euro 2024 tetapi mereka tetap mengharapkan kehadiran Kylian Mbappe dan menemui semula sentuhan jaringan apabila berdepan Poland dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, malam esok.

Sebagai salah satu pasukan pilihan di kejohanan ini, Perancis mempunyai empat mata daripada dua perlawanan dalam Kumpulan D tetapi hanya menjaringkan satu gol hasil jaringan sendiri pertahanan Austria, Maximilian Woeber.

Perancis menang 1-0 ke atas Austria dalam perlawanan pembukaan mereka di Duesseldorf, sebelum seri 0-0 dengan Belanda di Leipzig pada Jumaat, lalu tanpa kehadiran Mbappe.

Pemain baru Real Madrid itu tidak bermain menentang Belanda kerana sedang pulih daripada kecederaan hidungnya yang patah akibat pertembungan lewat menentang Austria.

Dia perlu memakai topeng pelindung di hidung apabila kembali beraksi dan memakainya ketika sesi latihan pada Ahad di Paderborn sekali gus mencetuskan harapan kepada rakan sepasukan yang optimis untuk melihat kapten mereka beraksi menentang Poland.

"Saya rasa semua orang tahu dia sangat bersemangat untuk bermain dalam perlawanan seterusnya. Itu tidak akan mengejutkan sesiapa. Mengenai topeng itu, saya rasa dia mula terbiasa dengannya. Sudah tentu dia lebih suka tidak memakainya tetapi saya rasa jika anda bertanya kepada doktor, dia akan berkata tiada pilihan lain.

"Tetapi itu tidak akan mengubah apa-apa untuknya. Kami tahu apabila dia berada di padang, dia akan memberikan banyak manfaat kepada pasukan," kata pemain tengah Aurelien Tchouameni.

Mbappe yang membuat hantaran silang yang disambut Woeber untuk gol tunggal Perancis setakat ini di Euro dan dia kekal peledak berbisa dimiliki buat jurulatih Didier Deschamps.

Marcus Thuram mengetuai barisan menentang Belanda, tetapi dia hanya menjaringkan dua gol dalam 22 penampilan untuk negaranya.

Antoine Griezmann pula hanya menjaringkan dua gol dalam 30 kap terakhirnya, manakala satu-satunya gol Ousmane Dembele untuk Perancis dalam tiga tahun terakhir adalah ketika menentang Gibraltar.

Kingsley Coman masih membina kecergasannya selepas terlepas penghujung musim bersama Bayern Munich kerana kecederaan dan Randal Kolo Muani baru sahaja keluar dari kempen sukar yang dibayangi Mbappe di Paris Saint-Germain.

Perancis hanya memerlukan seri untuk memastikan mereka mara ke pusingan 16 terakhir menentang Poland yang tersingkir selepas dua kekalahan dalam dua perlawanan pertama mereka.

Malah, kekalahan tidak akan menghalang mereka untuk layak jika Austria gagal mengalahkan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:46 AM