BAUMGARTNER berterima kasih kepada Rangnick yang menghantar gambar berkenaan di dalam bas menuju ke stadium. FOTO Reuters
BAUMGARTNER berterima kasih kepada Rangnick yang menghantar gambar berkenaan di dalam bas menuju ke stadium. FOTO Reuters
Reuters

Duesseldorf: Jurulatih Austria, Ralf Rangnick mendedahkan beliau menghantar mesej teks motivasi kepada Christoph Baumgartner yang mungkin memainkan peranan selepas dia meraih anugerah pemain terbaik perlawanan ketika bertemu Poland dan meningkatkan peluang pasukannya ke pusingan kedua di Euro 2024.

Baumgartner menjaringkan gol penting dalam kemenangan 3-1 Austria ke atas Poland semalam, dengan melepaskan rembatan cantik pada minit ke-66 dari tepi kawasan untuk meletakkan pasukannya kembali di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Dalam bas menuju ke perlawanan itu, Rangnick menghantar gambar kepada Baumgartner mengenai pemain itu meraikan gol bersama kelabnya, Leipzig untuk cuba meningkatkan semangatnya.

"Saya melakukan itu kepada satu atau dua pemain lain dari masa ke semasa," kata Rangnick mengenai menghantar teks.

Baumgartner menjaringkan gol dalam empat perlawanan Austria berturut-turut menjelang Euro tetapi mereka gagal meledak gol dalam kekalahan pada aksi pembukaan Kumpulan D kepada Perancis.

Selepas menjaringkan gol ketika menentang Poland, Baumgartner menunjuk ke arah Rangnick dan berlari terus ke arahnya sebelum meraikannya dengan pelukan penuh kegembiraan.

"Saya mahu memberikan sesuatu kepadanya dan menunjukkan kepadanya bahawa saya amat berterima kasih," kata Baumgartner.

Kekalahan itu menyingkirkan Poland daripada Kumpulan D selepas Perancis dan Belanda seri 0-0.

Austria akan menentang Belanda Rabu depan di Berlin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 1:13 AM