GIROUD (depan) ketika sesi latihan Perancis semalam.  FOTO Reuters
GIROUD (depan) ketika sesi latihan Perancis semalam. FOTO Reuters
Reuters

Leipzig, Jerman: Perancis mungkin beraksi tanpa Kylian Mbappe ketika menentang Belanda dalam perlawanan yang bakal menentukan juara Kumpulan D pada awal pagi Sabtu ini.

Mbappe mengalami kecederaan patah hidung ketika skuadnya menewaskan Austria 1-0 dan memerlukan topeng pelindung apabila kembali beraksi.

Jika dia tidak beraksi Sabtu ini, Belanda pastinya lega tidak berdepan ancaman penyerang berbisa Perancis itu.

Dalam saingan kelayakan Euro, kedua-dua pasukan diundi bersama dalam satu kumpulan dengan Perancis menang kedua-dua perlawanan menyaksikan Mbappe meledak empat gol.

Dia juga menjaringkan lima gol dalam enam aksi terakhir kedua-dua pasukan dan gol pertamanya di peringkat antarabangsa juga ketika menentang Belanda pada 2017.

"Jelas sekali, pasukan Perancis dengan atau tanpanya tidak sama. Saya harap dia dapat beraksi," kata Deschamps selepas tamat perlawanan menentang Austria.

Bagi Mbappe, insiden menimpanya satu lagi detik mengecewakan di Euro. Dia tidak pernah menjaringkan gol di pusingan akhir kejohanan itu.

Pada 2021 sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Switzerland yang menyaksikan Perancis tersingkir di peringkat 16 terakhir.

Mbappe berpeluang menebus kegagalan di Jerman tetapi buat masa ini pengurus Perancis Didier Deschamps perlu mencari pemain paling tepat untuk mengambil alih tempat penyerang berbisanya itu.

Olivier Giroud menggantikan Mbappe pada Isnin lalu dan dia menjaringkan gol pada aksi persahabatan terakhir ketika menentang Kanada tetapi dia mengalami kecederaan sehingga tersisih sesi latihan pada Selasa.

"Saya tak fikirkan diri saya ketika ini. Saya fikirkan Kylian dan pasukan," kata Giroud. "Dalam semua kes, kita tak tahu apa berlaku pada aksi akan datang."

Kejohanan kali ini adalah yang ketujuh buat Giroud bersama Perancis dan penjaring terbanyak negaranya itu pasti mahu mengakhirinya dengan cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 8:31 AM