WOBER menanduk bola masuk ke gawang sendiri ketika menentang Perancis. FOTO Reuters
WOBER menanduk bola masuk ke gawang sendiri ketika menentang Perancis. FOTO Reuters
Reuters

Duesseldorf: Jurulatih Austria, Ralf Rangnick berkata, bahawa tidak ada siapa yang menyalahkan pertahanan Max Wober atas gol sendiri yang dilakukan dalam kekalahan 0-1 kepada Perancis dalam perlawanan pembukaan Euro 2024 mereka.

Austria, yang hanya kalah satu dari 16 perlawanan terakhir mereka, bermain dengan hebat dengan naib juara Piala Dunia tetapi pada minit ke-38, kapten Perancis Kylian Mbappe melakukan hantaran dan Wober menanduk masuk bola melepasi penjaga gol, Patrick Pentz.

"Jelas bahawa kami kecewa dengan keputusan ini. Dalam 100 minit, kami tidak membenarkan Perancis meledak jaringan. Satu-satunya gol adalah jaringan sendiri yang sangat malang," kata Rangnick kepada wartawan.

"Tidak ada sepatah kata celaan kepada Maxi Wober."

"Tetapi yang benar-benar penting adalah dia tidak menyalahkan dirinya sendiri. Dalam kalangan ahli pasukan, kakitangan, semua orang tahu ini adalah situasi yang sangat malang. Dia menerima bola di kepalanya dan tidak dapat berbuat apa-apa."

Wober ditenangkan oleh rakan sepasukannya selepas gol berkenaan.

Dua minit sebelumnya, Christoph Baumgartner mendapat peluang cemerlang untuk menjaringkan gol Austria apabila kapten pasukan, Marcel Sabitzer menyambut hantaran silang Michael Gregoritsch sebelum diberikan penyerang itu tetapi rembatannya ditepis keluar oleh penjaga gol, Mike Maignan.

"Peluang terbaik bagi kami, biasanya (Baumgartner) akan menjaringkan gol dalam situasi seperti itu," kata Rangnick.

"Tentu saja, Perancis juga mencipta peluang mereka, Patrick Pentz melakukan kerja yang hebat."

"Tetapi saya rasa (pengurus Perancis) Didier Deschamps sangat gembira apabila wisel penamat berbunyi, dan saya rasa itu menunjukkan prestasi hebat pasukan saya.

"Tidak ada celaan kepada pasukan saya. Mereka memberikan segala-galanya di atas padang. Mungkin mereka tidak membuat keputusan yang tepat pada setiap saat - tetapi jangan lupa siapa lawannya."

Austria, yang hanya sekali berjaya melepasi peringkat kumpulan Euro pada 2020, tiba di Jerman dengan penuh optimis selepas rentetan keputusan cemerlang mereka, dan semangat mereka diperkukuh lagi dengan kehadiran penyokong yang berpakaian merah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:38 AM