PEMAIN JDT  Oscar  Arribas (kanan) mengasak pertahanan KDN FC Nasrol Amir  di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
PEMAIN JDT Oscar Arribas (kanan) mengasak pertahanan KDN FC Nasrol Amir di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-0 pada aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan ibrahim, sebentar tadi.

Lawan JDT pada aksi suku akhir pertama adalah pasukan Liga A1 Semi Pro, Universiti Malaysia yang dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 Jun ini.

Pada pertembungan itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio melakukan rombakan terutama di posisi pertahanan apabila mempertaruhkan gandingan Shahrul Saad dan Shane Lowry mengemudi benteng tengah buat pertama kali selain penampilan Murilo Henrique mengisi posisi Corbin Ong di sayap kiri.

Malah kelibat Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan sehingga terlepas tugasan bersama skuad Harimau Malaya bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 tersenarai selaku pemain simpanan.

Tuan rumah terlepas membuka tirai jaringan pada minit ke-13 selepas umpanan Fernando Forestieri yang membuka ruang buat Juan Muniz melakukan sepakan lencong namun bola hanya sekadar melewati palang gol.

Forestieri turut gagal memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-22 apabila tindakannya yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Afiq Fazail dan bola rembatan leret hanya singgah di tiang gol ketika penjaga gol Muhd Muhaimin Mohamad sudah tertewas.

Ketika aksi berbaki seminit untuk mengakhiri babak pertama, berpunca daripada sepakan lintang Henrique membuka ruang buat Bergson Da Silva menanduk bola dan kemudian disambung Forestieri untuk meletak JDT mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, JDT tampak intensiti permainan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-51 namun bola tandukan Forestieri yang menerima hantaran lintang Oscar Arribas sempat diselamatkan Mohd Muhaimin.

Insiden membabitkan Forestieri yang dkasari Umeir Aznan pada minit ke-58 di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) dan hasilnya JDT dihadiahkan sepakan penalti.

Muniz yang mengambil sepakan itu pada minit ke-61 berjaya ditepiskan keluar Mohd Muhaimin namun pemain gantian Romel Morales yang berada di posisi terbaik bertindak melakukan rembatan susulan untuk menjaringkan gol kedua buat JDT.

JDT menamatkan sisa perjuangan skuad Kijang Emas pada minit ke-81 selepas bola umpanan Muniz tepat kepada pemain gantian, Francisco Geraldes yang bertindak memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum merembat tepat ke penjuru kiri gawang.

Sekali lagi VAR memain peranan selepas mengesah ada kekasaran dilakukan Nasrol Amri Kamarul Azhar terhadap Arif Aiman pada minit akhir permainan dan dia yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Mohd Muhaimin untuk memastikan kemenangan 4-0 memihak JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 10:24 PM