BERGSON (kiri) menjaringkan dua gol yang membolehkan JDT menang 4-1 ke atas BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERGSON (kiri) menjaringkan dua gol yang membolehkan JDT menang 4-1 ke atas BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengakhiri saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kemenangan 4-1 ke atas BG Pathum United FC di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Walaupun menang dan berada di tangga ketiga kumpulan selepas mengumpul sembilan mata, mereka gagal menyamai pencapaian musim lalu apabila layak ke pusingan 16 terbaik pada saingan kali ini.

Dalam pertembungan menentang kelab dari Thailand itu, pengendali JDT, Esteban Solari melakukan rombakan kecil selepas menyenaraikan Natxo Insa, Oscar Arribas dan Feroz Baharuddin dalam kesebelasan bagi menggantikan Shio Hong Wan yang digantung satu perlawanan dan Shane Lowey serta Corbin Ong yang dibelenggu kecederaan.

Seawal lapan minit permainan, JDT diberi tekanan oleh BG Pathum United yang begitu rakus mengasak ke kubu diterajui kapten, Jordi Amat.

Malang buat JDT apabila kehilangan Arribas pada minit ke-15 selepas dia cedera selepas berlaga dengan pemain BG Pathum United memaksa Solari membawa masuk Akhyar Rashid bagi menguatkan posisi sayap kiri.

BG Pathum terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-28 apabila bola hantaran lintang Santipharp Channgom ditampan Igor Sergeev ke dalam gawang JDT yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamad.

Tersentak dengan jaringan pelawat itu, JDT mula mengatur gerakan, namun Bergson Da Silva bagaikan hilang arah apabila keseorangan di posisi serangan tatkala kurang mendapat sokongan daripada Juan Muniz dan Heberty Fernandes.

Akhirnya Video Bantuan Pengadil (VAR) diguna pakai dalam perlawanan itu selepas pengadil yang mengendalikan VAR iaitu Zhang Lei dari China dan dibantu Hanna Hattab dari Syria mengesan kesalahan yang dilakukan Danilo Alves pada minit ke-51 apabila menghalang bola tandukan Bergson menggunakan tangan berpunca daripada bola sepakan sudut Heberty.

Selepas melakukan semakan, pengadil perlawanan Ma Ning dari China membuat keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT dan melayangkan kad kuning kedua untuk Alves dan seterusnya kad merah.

Bergson yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-55 merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Chatchai Bootprom untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-66, Bergson menjaringkan gol kedua JDT menerusi sepakan leret ke penjuru kanan gawang lawan.

JDT mencipta gol ketiga pada minit ke-86 apabila umpanan Arif Aiman Hanapi disempurnakan pemain gantian, Endrick Dos Santos.

Arif Aiman kemudian melakukan larian solo dan menjaringkan gol pada minit ke-92 untuk melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 buat JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 8:02 PM