FORESTIERI berjaya meledak gol ketiga JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
FORESTIERI berjaya meledak gol ketiga JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah meratah Kelantan FC 5-1 untuk memastikan kemenangan keempat berturut-turut dan kekal selaku pendahulu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan tidak melakukan rombakan besar pada kesebelasan utama, pengendali JDT, Esteban Solari hanya menyenaraikan Feroz Baharuddin di posisi pertahanan dan mengekalkan barisan pemain yang beraksi menentang Negeri Sembilan FC, baru-baru ini.

Seawal minit ketiga JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan Khairul Syahmi Ahmad Khalidi selepas mengesan pemain pertahanan Kelantan FC mengasari Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti.

Fernando Forestieri yang mengambil sepakan penalti itu menyaksikan penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad berjaya menampan bola tapi Diogo Luis Santo pantas menyambar bola muntah dan merembat bola leret memastikan tuan rumah mendahului 1-0.

Skuad Harimau Selatan terlepas peluang menambah jaringan apabila bola rembatan Diogo pada minit ke-22 selepas menerima lorongan Forestieri dibatalkan kerana berada dalam keadaan ofsaid.

Namun serangan bertali arus JDT membuahkan hasil pada minit ke-24 apabila bola sepakan lintang Corbin Ong menyaksikan Diogo sempat mendada bola sebelum membiarkan Endrick Dos Santos merembat bola kencang menewaskan Nik Mohd Amin.

Ketika aksi memasuki minit ke-35, JDT memastikan skuad The Red Warriors menjadi [lubuk' jaringan selepas bola sepakan llntang di posisi sayap kiri menyaksikan Diogo sekali lagi mendada bola untuk membuka ruang buat Forestieri meledak rembatan kencang menewaskan Nik Ahmad untuk selesa mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, anak didik Solari menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan tapi pengendali Kelantan FC, Choi Moon-sik tampak mula mengubah pendekatan taktikal apabila bermain secara berkampung di kawasan sendiri bagi mengelak JDT menambah jaringan.

Tapi pendekatan taktikal itu tidak menjadi apabila Juan Muniz yang tidak di kawal merembat bola dari jarak 25 meter pada minit ke-55 memerangkap Nik Ahmad Amin yang sekadar melihat bola menerjah jaring dan gol itu juga bagaikan melenyap sisa perjuangan anak didik Moon-sik.

Bagaimanapun tindakan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang menjatuhkan Ismaheel Akinade di dalam kotak penalti menyaksikan Khairul Syahmi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-69.

Pemain gantian Leonardo Rolon berjaya mencipta gol dan menamatkan gawang JDT yang di kawal Ahmad Syihan tidak bolos sepanjang 339 minit permainan untuk meletak kedudukan 1-4.

Tapi jaringan pencetus semangat anak didik Moon-sik bagaikan terpadam selepas Khairul Syahm sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat JDT ketika aksi berbaki sembilan minit ditamatkan dan Arif Aiman mudah menyempurnakan sepakan itu untuk memastikan kemenangan 5-1 memihak juara liga sembilan kali berturut-turut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 8:12 PM