PEMAIN JDT meraikan jaringan ketika menentang TFC. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT meraikan jaringan ketika menentang TFC. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan Terengganu FC (TFC) pulang hampa apabila menewaskan pasukan dari Pantai Timur itu 2-0 pada aksi Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT yang dibimbing Esteban Solari mengekalkan Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut sejak 2018 dan sekali gus mengumpul tiga mata pertama pada aksi pembuka tirai Liga Super.

Pada pertembungan itu, Solari menampilkan taktikal baharu dengan menyenaraikan Oscar Arribas di posisi bek kiri, Juan Muniz menjadi perancang utama di posisi tengah manakala Ahmad Syihan Hazmi Mohamed penjaga gol.

Sebaik aksi bermula, JDT melakukan asakan awal pada minit ketiga apabila umpanan Afiq Fazail yang membuka ruang buat Fernando Forestieri sempat melencongkan bola namun hanya sedikit tersasar.

Bagaimanapun, serangan bertali arus skuad Harimau Selatan pada minit kelima menjelmakan jaringan selepas bola sepakan lintang Bergson Da Silva menyaksikan Muniz menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu, Arif Aiman Hanapi hampir menambah jaringan pada minit ke-15 namun rembatan deras di sudut kanan gawang sempat ditepis Mohd Suhaimi.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner yang ketinggalan dengan jaringan awal tampak cuba mencari peluang bagi memburu gol penyamaan tetapi sepanjang babak pertama kelibat gandingan Adisak Kraison dan Ivan Mamut yang digembar-gembur mahu merobek gawang JDT sekadar penumpang dalam kesebelasan skuad Penyu apabila gagal melakukan percubaan berbahaya.

Bersambung babak kedua, anak didik Solari terus mengasak dan pada minit ke-57 Bergson yang tidak dikawal mudah menampan bola hantaran Arif Aiman untuk membolehkan JDT selesa dengan kemenangan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 11:16 PM