BERGSON meraikan jaringannya. FOTO Johor Southern Tigers
BERGSON meraikan jaringannya. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dan kekal di tangga teratas liga selepas mudah menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 6-0 pada satu-satunya aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu memastikan skuad Harimau Selatan memenuhi impian untuk mencatat `perfect 10' apabila masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 10 perlawanan liga dan mengumpul 30 mata menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Selangor FC dan Sri Pahang FC yang masing-masing mengutip 22 mata.

Sebaik perlawanan bermula, skuad kendalian Esteban Solari mendominasi permainan dengan mengatur gerakan untuk memburu gol dan hasilnya seawal minit kelapan berpunca daripada umpanan Endrick Dos Santos membuka ruang buat Bergson Da Silva yang bertindak merembat bola dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar.

Peluang terbaik JDT untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-18 selepas Oscar Arribas bertindak melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti tapi Ahmad Asyraaf sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Ketika aksi memasuki minit ke-22, skuad Harimau Selatan mencetak gol kedua perlawanan selepas bola umpanan Dos Santos tepat kepada Fernando Forestieri yang berada di dalam kotak penalti dan tidak dikawal benteng skuad Kijang Hijau mudah merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Ahmad Asyraaf.

Ahmad Asyraaf hampir tertewas buat kali ketiga apabila Velazquez bertindak melencongkan bola tepat ke gawang gol selepas menerima bola umpanan Forestieri pada minit ke-39 tapi palang gol menjadi penyelamat skuad Kijang Hijau daripada dibolosi.

Bersambung babak kedua, malang buat Forestieri yang sepatutnya boleh mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-46 namun bola lorongan Arif Aiman Hanapi gagal disudahkan apabila bola tersangkut di kakinya walaupun gawang gol terbuka luas dan pemain KUFC, Muhammad Fauzan Mohd Fauzi pantas menendang bola keluar.

JDT melenyapkan sisa perjuangan skuad Kijang Hijau pada mini ke-61 selepas Forestieri yang diasak dua pertahanan pelawat sempat melorongkan bola buat Bergson yang tidak dikawal mudah melambungkan bola menewaskan Ahmad Asyraaf sekali gus meletak kedudukan selesa JDT mendahului 3-0.

Tindakan Ahmad Asyraaf yang menjatuhkan Forestieri pada minit ke-61 mengundang padah selepas pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkilfi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang mengambil sepakan penalti itu melengkapkan jaringan hatrik buat dirinya pada minit ke-62 dan meletak kedudukan 4-0 memihak skuad Harimau Selatan

Anak didik Solari meraih sepakan penalti kedua pada minit ke-72 selepas Muhammad Fauzan mengasari Bergson di dalam kotak penalti dan tugas sepakan itu mudah disempurnakan Leandro Velazuquez pada minit ke-76.

Dan ketika aksi memasuki minit akhir permainan berpunca daripada bola lorongan Arif Aiman membolehkan Forestieri mencetak gol kedua peribadi bagi melengkapkan kemenangan bergaya 6-0 buat JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 10:25 PM