KDN FC menerusi kenyataan kepada media malam ini turut menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci. FOTO Ihsan KDN FC
KDN FC menerusi kenyataan kepada media malam ini turut menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci. FOTO Ihsan KDN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) mengecam keras tindakan individu dan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kekerasan dengan menyerang sehingga mencederakan pemain bola sepak negara.

Skuad kijang emas turut melahirkan rasa sedih dan kecewa kerana kejadian itu jelas satu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta perlu dibendung dengan kadar segera.

KDN FC menerusi kenyataan kepada media malam ini turut menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab agar kejadian sama tidak berulang kepada pemain bola sepak atau atlet sukan lain, di masa akan datang.

"Para pemain bola sepak atau mana-mana atlet sukan adalah aset negara yang perlu dijaga.

"Mereka adalah individu yang mengharumkan nama Malaysia pada setiap kejohanan atau asas sukan yang disertai oleh negara kita," kata kenyataan media pasukan berpangkalan di Kota Bharu ini.

Pasukan KDN FC turut mendoakan segala urusan kedua pemain yang terbabit serangan dipermudahkan serta cepat sembuh dan dapat berbakti kepada pasukan masing-masing bagi memeriahkan Liga Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi.

Pada masa sama, pasukan di bawah Ketua Jurulatih Park Jaehong ini menyeru semua pemain bola sepak serta atlet sukan sentiasa menjaga diri dan terus membuat laporan polis jika merasa keselamatan mereka terancam.

Hari ini, arena bola sepak negara dikejutkan sekali lagi dengan kejadian simbah asid membabitkan pemain bola kebangsaan, Faisal Halim, petang tadi.

Faisal yang terkenal dengan panggilan Mickey mengalami beberapa kecederaan terutamanya bahagian badan selepas diserang individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Dua hari lalu, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 10:04 PM