JAEHONG (kanan) mahu meneliti semua pemain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Sri Pahang FC dalam saingan pra musim, esok. FOTO IHSAN KDN FC
JAEHONG (kanan) mahu meneliti semua pemain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Sri Pahang FC dalam saingan pra musim, esok. FOTO IHSAN KDN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC), Park Jaehong mahu meneliti pemain terbaik untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Sri Pahang FC, esok.

Pasukan itu akan berdepan Sri Pahang bagi perlawanan pra musim bagi saingan pertama.

Jaehong berkata, dia sedar pasukan pelawat antara kelab yang mempamerkan aksi konsisten musim lalu dan perlawanan itu sangat kompetitif bagi KDN FC.

"Kami belum memikirkan percaturan untuk esok kerana saya mahu melihat dan menganalisis semua pemain agar mereka betul-betul bersedia.

"Kami tak mahu terburu-buru memandangkan kami baru sahaja melalui satu perlawanan pra musim berbanding lawan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, Tok Gajah juga sudah mengatur banyak aksi persahabatan sempena pra musim ini dan tuan rumah gembira kerana bakal berdepan kelab yang baik untuk persiapan pasukan musim ini.

Terdahulu, Jaehong diumum sebagai ketua jurulatih skuad kijang emas bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 1:11 PM