HANNAH berkata setiap atlet negara dilindungi menerusi Kod Sukan Selamat oleh KBS. FOTO Bernama
HANNAH berkata setiap atlet negara dilindungi menerusi Kod Sukan Selamat oleh KBS. FOTO Bernama
Aizat Sharif


Kangar: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu persatuan sukan di seluruh negara sentiasa mengambil berat terhadap keberadaan atlet mereka sama ada ketika sedang melakukan latihan atau berada di luar latihan.

Ini adalah bagi memastikan kejadian serangan terhadap tiga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim tidak merebak kepada atlet sukan lain.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS menyerahkan siasatan kepada polis dan hal berkenaan.

"Malah perkembangan ini juga termasuk dengan kejadian di mana atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias yang mengalami cedera parah.

"Kita tidak tahu apa motif serangan serta kemalangan yang berlaku itu dan itu sebab kita hendak dapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pastikan atlet kita dijaga dengan baik termasuklah atlet kita yang akan bersaing dalam Sukan Olimpik tahun ini.

"Kita hendak pastikan persatuan sukan ambil berat atlet mereka dan untuk atlet yang akan bertanding dalam bola sepak, saya tahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah minta mereka (polis) untuk mengetatkan lagi keselamatan bagi pemain bola sepak ini," katanya.

Katanya, setiap atlet negara dilindungi menerusi Kod Sukan Selamat oleh KBS bagi memastikan mereka dapat berlatih dan bertanding dengan selamat.

"Kita di KBS sudah melancarkan Kod Sukan Selamat di mana kita hendak wujudkan suasana yang selamat dalam sukan untuk atlet kita bersukan tetapi dalam isu jaminan keselamatan itu adalah di bawah kuasa polis.

"Kita ada 103 jenis sukan di negara jadi kita mahukan suasana selamat dapat dinikmati oleh atlet kita setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 12:48 AM