PEMAIN KDN FC,  Syed Sobri Syed Mohd (kanan) diasak oleh pemain Sabah FC, Telmo Ferreira Castanhheira dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN KDN FC, Syed Sobri Syed Mohd (kanan) diasak oleh pemain Sabah FC, Telmo Ferreira Castanhheira dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Park Jae-hong mahu peminat bola sepak Kelantan terus memberi kepercayaan kepada pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super 2024/25.

Jae-hong berkata, mereka cuba untuk memperbaiki mutu permainan dari masa ke semasa bagi mengumpul mata seterusnya memenangi perlawanan musim ini.

Katanya, kehilangan tiga mata berharga malam tadi kepada Sabah FC dengan jaringan tipis 3-2 harus dilupakan dan fokus pada perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC, Jumaat depan.

"Kita harus menang ke atas Terengganu walaupun kita tahu Terengganu juga pasukan yang kuat.

"Kita tidak menyalahkan pemain, ini adalah sebahagian permainan, kita tidak boleh menjadi pasukan yang bagus dalam sehari.

"Tolong percaya kami, kita akan cuba perbaiki lagi untuk perlawanan seterusnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke IV,Kota Bharu, malam tadi.

Pengendali berasal Korea Selatan itu meletakkan kepercayaan penuh kepada pemain untuk bangkit.

"Kita pemain Kelantan, kita boleh lakukannya bersama-sama," katanya.

Sementara itu, Jae-hong berkata dia mahu memberi fokus dahulu pada aksi Liga Super meskipun diundi melawan gergasi selatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada undian Piala FA.

Katanya, beliau mahu fokus memburu tiga mata pertama pada saingan Liga Super secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:25 AM