JAEHONG sebenarnya sudah menerima lamaran mengemudi skuad kijang emas sejak Februari lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
JAEHONG sebenarnya sudah menerima lamaran mengemudi skuad kijang emas sejak Februari lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: DNA Korea selatan terus menjadi pilihan pasukan Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) apabila mengumumkan Park Jaehong sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/2025.  

Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain KDN FC musim ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, petang tadi.  

Jaehong, 46 adalah ketua jurulatih berpengalaman selain bekas pemain kebangsaan Korea Selatan.  

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, Jaehong sebenarnya sudah menerima lamaran mengemudi skuad kijang emas sejak Februari lalu.  

Namun, katanya atas beberapa sebab tertentu, pihaknya terpaksa menunda pengumuman posisi Jaehong sehingga hari ini.

"Sebenarnya beliau (Jaehong) mahu datang ke Kota Bharu sebelum Syawal tapi baru tiba tiga hari lalu. 

"Jadi kami umumkan kehadiran beliau, hari ini," katanya dalam sidang media di majlis berkenaan, petang tadi.  

Bekas pemain bahagian pertahanan ini mempunyai rekod dalam bidang kejurulatihan membabitkan pasukan Bucheon FC dan Yangju Citizen sejak 2015 sehingga kini.  

Beliau mempunyai lesen kejurulatihan AFC Pro Lisense dan lesen kejurulatihan lain seperti AFC A Lisense - KFA 1 Lisense, AFC A Lisense - KFA 2 Lisense dan AFC A Lisense - KFA 3 Lisense.

Terdahulu, pasukan ini turut menyambar empat import 'oppa' iaitu Ri-Gwan Kim (20 tahun),Ahoe Koo (22 tahun), Bae Kyeong Hwan (22 tahun) dan Jung Byung Ju (21 tahun). 

Dalam majlis tadi, KDN FC turut memperkenalkan jersi rasmi pasukan yang julung kali menggunakan tiga kombinasi fabrik berlainan untuk satu jersi.

Selain itu, material digunakan juga dari bahan premium dengan memperkenalkan logo pada jersi yang diperbuat daripada jenis effect 3D Irisdecent yang boleh berubah warna mengikut sudut berbeza.  

Bagi jersi aksi di tempat lawan atau 'away' dan jersi ketiga pula menampilkan leher jenis V yang hanya dikeluarkan penaja pasukan, PUC Sport.  

Kesemua warna jersi membabitkan warna merah, putih dan hijau seiring dengan penjenamaan semula KDN FC yang mahu membawa identiti lebih Kelantan bagi pasukan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:03 PM