PEMAIN tengah Arsenal, Martin Odegaard kecewa selepas Galeno menjaringkan gol untuk Porto. FOTO AFP
PEMAIN tengah Arsenal, Martin Odegaard kecewa selepas Galeno menjaringkan gol untuk Porto. FOTO AFP
AFP

Porto: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta merungut dengan presasi pasukannya selepas jaringan hebat Galeno pada masa kecederaan membolehkan Porto menang 1-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Muncul dalam perlawanan kalah mati pertama di pentas utama Eropah itu selepas tujuh tahun, Arsenal bergelut untuk melepasi pertahanan kemas Porto sebelum Galeno meledak gol pada minit ke-94.

Kekalahan itu menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kalah Arsenal menentang lawan dari Portugal itu dan tugas berat menanti The Gunners pada perlawanan timbal balik di London 13 Mac ini.

"Kami kurang melakukan ancaman. Kami juga tidak agresif terutamanya ketika menguasai bola pada sebahagian besar perlawanan.

"Jadi kami akan mengubah suai beberapa perkara untuk menyerang dengan lebih baik. Kami boleh melakukan yang lebih baik," kata Arteta kepada TNT Sports.

Kali terakhir Arsenal berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara adalah pada 2010, apabila mereka menewaskan Porto pada pusingan 16 terakhir, tetapi kelab Portugal itu kini dilihat mempunyai kelebihan.

"Saya rasa mereka adalah pasukan yang sangat tersusun secara bertahan dan sering mematahkan rentak anda sepanjang masa.

"Kami mahu berada di suku akhir dan perlu menewaskan lawan. Inilah yang perlu kami lakukan di Emirates," kata Arteta.

Pada perlawanan hari ini, Arsenal gagal melakukan walaupun satu cubaan tepat.

"Apabila 0-0, anda melihat ke arah jam dan sudah 93 minit berlalu, jika anda tidak memenangi perlawanan maka jangan kalah. Apapun kami tidak akan berputus asa," kata pemain tengah Arsenal, Declan Rice.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:49 AM