REAKSI Rice ketika bertemu Everton pada saingan EPL. FOTO AFP
REAKSI Rice ketika bertemu Everton pada saingan EPL. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta menjangkakan Declan Rice akan memainkan peranan penting buat Arsenal yang kembali di Liga Juara-Juara ketika bintang England itu juga bakal melakukan penampilan sulung di pentas Eropah apabila bertemu PSV Eindhoven awal pagi Khamis ini.

The Gunners kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2016/17 sekali gus membolehkan Rice merasai pengalaman pertama beraksi di pentas elit Eropah selepas berhijrah dari West Ham.

Arteta membelanjakan £100 juta (RM580.7 juta) untuk mendapatkan pemain tengah itu untuk saingan utama termasuk kunjungan PSV ke Stadium Emirates pada aksi pembuka tirai Kumpulan B.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah mempamerkan aksi meyakinkan bersama Arsenal apabila menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu dengan cukup dramatik ketika menentang Manchester United pada 3 September lalu.

Kehadiran Rice cukup penting bagi skuad bimbingan Arteta untuk menebus kekecewaan gagal memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu.

Arsenal mensia-siakan kelebihan lapan mata di hujung musim apabila Manchester City berjaya memintas dan menamatkan usaha The Gunners untuk meraih gelaran pertama sejak 2004.

"Dia sangat dominan dan menghasilkan momen ajaib untuk memenangi perlawanan," kata Arteta mengenai Rice.

Bos Arsenal itu juga membayangkan Rice mampu menjadi tonggak utama Arsenal.

"Apabila anda melihat keupayaan teknikal yang ada padanya termasuk ketepatan dan bijak mencari ruang, bermakna dia mampu melakukan segala-galanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 10:01 AM