EDDIE Nketiah meraikan kejayaannya menjaringkan gol pertama Arsenal. -FOTO Reuters
EDDIE Nketiah meraikan kejayaannya menjaringkan gol pertama Arsenal. -FOTO Reuters
Reuters

Eindhoven, Belanda: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kepulangan mereka ke Liga Juara-Juara sebagai satu yang sangat positif selepas menamatkan kempen Kumpulan B dengan mengikat pendahulu liga Belanda, PSV Eindhoven 1-1.

Arsenal sudah pun mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan dan mara ke peringkat 16 terakhir selepas membelasah RC Lens 6-0 pada penghujung bulan lalu.

Kali terakhir The Gunners bersaing dalam Liga Juara-Juara pada musim 2016-17, mereka mara ke peringkat 16 terakhir sebelum dibelasah 1-5 dalam kedua-dua perlawanan oleh Bayern Munich.

Mereka kembali ke pertandingan musim ini selepas menamatkan saingan Liga Perdana di bawah Manchester City dan mengungguli kumpulan dengan 13 mata, empat mata mengatasi PSV di tempat kedua.

"Selepas enam atau tujuh tahun tidak berada dalam persaingan ini dengan pasukan yang tidak mempunyai banyak pengalaman, secara keseluruhan, saya fikir ia sangat-sangat positif," kata Arteta.

"Saya rasa kami bersaing dengan sangat baik. Saya sangat menyukai pendekatan pasukan dalam setiap perlawanan, cara kami cuba bermain dan menguasai lawan.

"Kami sudah melakar beberapa keputusan yang besar dan meraih pengalaman besar juga. Secara keseluruhan menamatkan saingan selaku juara kumpulan buatkan kami sangat gembira.

Arteta melakukan lapan pertukaran daripada pasukan ketika tewas 0-1 kepada Aston Villa hujung minggu lalu.

"Ia saat-saat yang baik di mana kami kurang kesepakatan dan waktu tepat ketika kami menekan pasukan yang hebat.

"Apabila anda tidak mendapat waktu yang tepat anda perlu mempertahankan ruang dengan baik dan kami terpaksa melakukannya beberapa kali malam ini yang boleh menyebabkan kami kehilangan permainan," katanya.

"Tapi akhirnya saya sangat gembira dengan sikap dan persembahan setiap pemain, bagaimana mereka mencuba dan akhirnya kami boleh memenanginya," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 8:27 AM