HANNAH (kiri) memuji ekosistem sukan berbasikal trek negara yang berjaya menarik minat sektor swasta untuk melabur. FOTO Bernama
HANNAH (kiri) memuji ekosistem sukan berbasikal trek negara yang berjaya menarik minat sektor swasta untuk melabur. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, para atlet negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung Julai ini lebih 'lengkap' dan bersedia berbanding ketika menghadapi beberapa edisi temasya sukan terbesar dunia itu sebelum ini.

Hannah berkata, ia kerana kerajaan berdiri teguh di belakang atlet negara dengan sedaya upaya berusaha menyediakan segala keperluan mereka menerusi projek Road To Gold (RTG).

"Bagi kami (kerajaan) Malaysia melabur banyak kepada atlet dan saya pasti mereka juga mahu melihat kejayaan, mahu pingat dan hanya berharap semuanya akan berjalan lancar sehingga ke Paris. Paling penting tiada kecederaan..jadi kami doakan mereka berjaya.

"Kerajaan berdiri rapat di belakang atlet untuk memastikan semua yang mereka perlukan telah kita sediakan di bawah projek RTG (Road To Gold)," katanya pada sidang media selepas majlis minum petang bersama tiga pelumba berbasikal trek negara ke Paris di kediaman Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam di Bukit Tunku di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hannah memuji ekosistem sukan berbasikal trek negara yang berjaya menarik minat sektor swasta untuk melabur dan sama-sama membangunkan sukan itu.

Katanya semua sukan tidak seharusnya hanya bergantung kepada dana daripada kerajaan semata-mata.

"Sebaik-baiknya setiap sukan harus mempunyai ekosistem ini, bukan sahaja kerajaan tetapi sektor swasta juga...CIMB, YSD (Yayasan Sime Darby) selama bertahun-tahun mereka melakukan ini dan itulah sebabnya berbasikal boleh melihat keputusan seperti ini.

"Jika anda hanya bergantung kepada kerajaan sahaja, sumber kami sentiasa ada had, begitu banyak sukan lain yang perlu kami jaga," tambahnya.

Terdahulu, tiga pelumba berbasikal trek negara ke Olimpik Paris diraikan dalam satu majlis minum petang bersama Tun Musa yang juga bekas Pengerusi YSD di kediamannya di sini.

Pelumba-pelumba itu adalah sandaran pingat emas negara di Paris yang juga bekas juara dunia keirin 2017 Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi YSD Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar yang juga bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley serta wakil-wakil penaja antaranya CIMB dan YSD.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 10:02 PM