FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 19 laporan membabitkan kerugian RM688,099 diterima pihak polis berkaitan sindiket penipuan menawarkan pekerjaan palsu menerusi laman sesawang, 'Lynxoasis.com'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, tiga mangsa adalah warga emas yang kerugian RM269,237.

"Dapatan ini sekali gus menunjukkan warga emas adalah sasaran yang lebih 'berkualiti' berbanding kategori mangsa lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menggunakan Instagram dan Facebook bagi mengiklankan tawaran pekerjaan sambilan selaku ejen tempahan hotel.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu akan diminta membuka akaun di laman sesawang Lynxoasis.com dan menyelesaikan tugasan tempahan hotel seperti diarahkan.

"Tempahan perlu dibuat menggunakan wang mangsa terlebih dahulu dengan jaminan ia akan dipulangkan semula beserta komisen," katanya.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 0.6 peratus sehingga 10 peratus bergantung kepada tugasan yang diselesaikan.

"Melalui laman sesawang itu, mangsa dapat melihat wang komisen mereka meningkat.

"Namun apabila mahu mengeluarkan wang keuntungan, sindiket akan mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan," katanya.

Menurutnya, terbaru sindiket itu dikesan mula menyebarkan mesej 'job gor senior' (kerja untuk warga emas) yang mempromosikan pekerjaan sambilan di laman sesawang sama.

"Mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp itu disyaki menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkaitan jenayah penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 9:12 PM