RAYA menghalang dua sepakan penalti Porto yang membolehkan Arsenal mara ke suku akhir UCL buat kali pertama sejak 2010. FOTO REUTERS
RAYA menghalang dua sepakan penalti Porto yang membolehkan Arsenal mara ke suku akhir UCL buat kali pertama sejak 2010. FOTO REUTERS
AFP

London: David Raya muncul wira ketika Arsenal menewaskan Porto 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama sejak 2010, awal pagi ini.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat selepas perlawanan kedua pusingan 16 terakhir di Stadium Emirates, sebelum Raya dua kali menyelamatkan sepakan penalti untuk mengecewakan juara dua kali itu.

Penjaga gol itu melayangkan badan untuk menghalang sepakan Wendell dan Galeno, manakala pemain tuan rumah menyempurnakan empat sepakan penalti.

Ini adalah kali pertama perlawanan UCL ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti sejak final pada 2016 antara Real Madrid dan Atletico Madrid.

"Anda cukup risau, anda berharap yang terbaik tetapi sedar penentuan sepakan penalti adalah seperti loteri," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta kepada TNT Sports.

"Jadi, sangat gembira. Sudah 14 tahun (gagal layak ke suku akhir), yang tentunya tempoh masa sangat panjang bagi kelab seperti Arsenal dan ia menunjukkan tahap kesukarannya. Kami perlu menggali untuk mencari detik ajaib di akhirnya.

"Kami bersabar, bekerja keras dan semua orang membuat keputusan yang bagus dan menunjukkan keberanian pada saat sukar serta sudah pasti, di sinilah tempat anda mahu berada," katanya.

Raya yang dipinjamkan dari Brentford berkata, ia adalah detik hebat secara peribadi dan keseluruhannya.

"Ia memberikan makna besar dan segala-galanya. Anda bermain bola sepak untuk perkara seperti ini dan saya bernasib baik bermain untuk Arsenal, beraksi di UCL dan kemudian layak ke suku akhir."

Ketinggalan 0-1 selepas perlawanan pertama pusingan 15 terakhir, anak buah Arteta yang mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menjaringkan 33 gol dalam lapan perlawanan terakhir liga gagal mempamerkan aksi terbaik menentang Porto yang bermain dengan disiplin tinggi.

Leandro Trossard memastikan Arsenal terikat 1-1 secara agregat sebelum rehat, sekali gus menyaksikan kesabaran mereka membuahkan hasil.

Anak buah Sergio Conceicao beberapa kali mengecewakan tuan rumah pada peringkat awal dan kedua-dua pasukan tercari-cari rentak permainan.

Porto melakukan yang terbaik untuk memperlahankan rentak perlawanan termasuk mengambil masa agak lama ketika lontaran ke dalam dan sepakan gol untuk mengecewakan penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 8:19 AM