GUARDIOLA hanya menandatangani kontrak jangka pendek. FOTO AFP
GUARDIOLA hanya menandatangani kontrak jangka pendek. FOTO AFP
AFP

London: Pengerusi Manchester City, Khaldoon Al Mubarak yakin dapat mencari 'penyelesaian yang tepat' berhubung masa depan Pep Guardiola di kelab itu, walaupun beliau tidak menyatakan bagaimana caranya.

Guardiola, yang kontraknya di kelab gergasi England itu sehingga 2025, menimbulkan keraguan mengenai masa depan jangka panjangnya di Etihad selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersejarah iaitu keempat berturut-turut bulan lalu dan mengakui sukar mencari motivasi selepas kejayaan berterusan.

Tempoh Guardiola di City sejak ketibaannya pada 2016 ditandai dengan kontrak yang agak singkat, bermakna masa depannya selepas penghujung musim depan masih tidak menentu.

"Dengan Pep, kami mengadakan perbincangan ini berkali-kali sebelum ini sepanjang tempoh kontrak," Khaldoon memberitahu saluran media kelab pada hari Rabu dalam tinjauan akhir musimnya.

"Pep sentiasa komited sepenuhnya kepada kelab ini, komited sepenuhnya pada setiap kontrak yang beliau tandatangani dengan kami.

"Keputusan mengenai masa depannya sentiasa keputusan yang kami ambil bersama, dan saya pasti kami akan menemui jalan, seperti yang selalu kami lakukan, penyelesaian yang tepat yang sesuai untuk Pep dan bekerja untuk kami."

Guardiola memenangi enam kejuaraan EPL dalam tempoh tujuh tahun lalu serta Liga Juara-Juara Eropah, Piala Dunia Kelab, dua Piala FA dan empat Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 9:34 PM