JUN Hao akan berdepan Tien Chen di pusingan kedua Terbuka Indonesia esok. FOTO ASWADI ALIAS
JUN Hao akan berdepan Tien Chen di pusingan kedua Terbuka Indonesia esok. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap dapat meneruskan momentum terbaiknya dalam kejohanan Terbuka Indonesia dan mara lebih jauh dalam kejohanan itu.

Jelasnya, untuk memastikan dirinya dapat mencabar kelompok pemain terbaik dunia, dia perlu kekal konsisten agar permainan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana menang lawan pemain berada di ranking lebih tinggi satu kepuasan bagi dirinya.

Bagi Jun Hao, pertandingan status Super 1000 sememangnya tahap yang amat berbeza dan momentum yang baik sebelum ini di Terbuka Singapura berjaya diteruskan sehingga kini.

"Persembahan hari ini agak baik dan apa yang saya lakukan memang menjadi dan terbaik untuk saya.

"Boleh menang dengan pemain di 'top' (ranking atas) memang satu kredit bagi saya tapi apa yang saya perlu adalah konsistensi. Mungkin dari tahap ini masih ada satu atau dua tahap lagi dan saya boleh buat kejutan tapi perlu lebih konsisten supaya lebih dekat di tahap ini (dengan tahap pemain terbaik dunia).

"Memang rasa lain sebab ini pertama kali saya sertainya (status Super 1000) di Indonesia, ini memang luar biasa. Memang dari Terbuka Singapura sampai sekarang saya rasa semakin konsistensi. Memang bagi saya sendiri (prestasi semasa) sembilan, sembilan setengah dan di sini nanti saya buat terbaik lagi supaya sampai ke sepuluh, "katanya.

Jun Hao meneruskan prestasi terbaiknya apabila menjadikan pemain tuan rumah, Jonatan Christie sebagai mangsa seterusnya di pusingan pertama Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Namun begitu, itu bukan lawan mudah buat Jun Hao apabila dia terpaksa bertarung tiga set sebelum mengesahkan kemenangan 21-13, 16-21, 21-12 dalam masa 62 minit permainan.

Pusingan kedua esok, Jun Hao akan bertemu pemain Taiwan, Chou Tien Chen yang menewaskan rakan senegaranya, Lin Chun Yi 21-17, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 10:14 PM