ONG (tengah) hadir ke Bukit Aman bagi memberi kenyataan. FOTO Hairul Anuar Rahim
ONG (tengah) hadir ke Bukit Aman bagi memberi kenyataan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang menjalankan siasatan selari dari aspek tatatertib berkaitan kes pemandu e-hailing dipukul pengiring orang kenamaan di lobi sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jam 11 pagi hari ini dengan diiringi peguam serta jurubahasa bagi membantu siasatan itu.

"JIPS akan meneliti kes ini dari sudut prosedur operasi standard (SOP) untuk mengesan sebarang pelanggaran atau salah laku semasa pelaksanaan penugasan.

"Siasatan masih di peringkat awal dan JIPS akan memanggil saksi lain bagi melengkapkan siasatan.

"Pihak JIPS menegaskan akan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa kompromi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong, 46, dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ia bagi merakam keterangan berkaitan dua kertas siasatan kejadian diserang pengiring rombongan kenamaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Lelaki terbabit dirakam percakapan oleh tiga pegawai dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dengan ditemani jurubahasa dan peguam Lawyers For Liberty (LFL) iaitu Latheefa Koya dan N Surendran.

Pada Rabu lalu, media melaporkan, pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa lalu sudah menarik balik laporannya pada hari sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dipetik berkata, individu berkenaan yang juga OKU membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 9:58 PM