ARTETA (kanan) mahu anak buahnya bangkit menjelang aksi liga menentang Newcastle. FOTO AFP
ARTETA (kanan) mahu anak buahnya bangkit menjelang aksi liga menentang Newcastle. FOTO AFP
Reuters

London: Arsenal mesti menggunakan kekalahan di Liga Juara-Juara ketika menentang Porto sebagai pembakar semangat untuk pertembungan di tempat sendiri menentang Newcastle United pada pagi Ahad, kata pengurus Mikel Arteta.

Gol masa kecederaan Galeno untuk Porto dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir mengejutkan Arsenal dan mengganggu prestasi cemerlang sejak memasuki tahun baharu.

Arsenal yakin dapat memulihkan defisit itu pada perlawanan kedua tetapi sebelum itu keutamaan Arteta akan mengekalkan cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pasukannya.

The Gunners memenangi lima perlawanan liga terakhir mereka, menjaringkan 21 gol, dan mempunyai peluang untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liverpool kepada dua mata dengan kemenangan ke atas Newcastle dalam pertembungan Ahad pagi di Stadium Emirates.

"Apa yang berlaku dalam pertandingan lain biarkan ia di sana, tetapi apa yang anda tidak boleh nafikan ialah apa yang ada dalam diri anda selepas kekalahan itu," kata Arteta kepada pemberita.

"Kami perlu menggunakannya dengan cara yang sangat luar biasa untuk menjadi lebih baik."

Newcastle menewaskan Arsenal 1-0 pada bulan November - kekalahan pahit yang membuatkan Arteta marah kepada pegawai perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 10:11 PM