ARTETA mahu pastikan Arsenal layak beraksi di Liga Juara-Juara. FOTO EPA
ARTETA mahu pastikan Arsenal layak beraksi di Liga Juara-Juara. FOTO EPA
Reuters

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, jika layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, ia akan memberi impak besar kepada masa depan kelab London itu.

Arsenal yang menamatkan saingan di tangga kelapan musim lalu berjaya bangkit musim ini apabila berada dalam kedudukan empat teratas dengan dua mata di hadapan Tottenham Hotspur.

Kali terakhir penyertaan Arsenal di Liga Juara-Juara adalah pada musim 2016/2017 apabila berjaya mara ke pusingan 16 terakhir.

"Layak ke Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang penting dan sesuatu yang sangat diperlukan kelab untuk bergerak ke hadapan," kata Arteta kepada Sky Sports.

Ditanya sama ada beliau bersedia menerima kritikan sekiranya mereka gagal lagi, Arteta menjawab: "Itu sebahagian daripada tugas dan jangkaan kami di sini bukan saja untuk layak ke Liga Juara-Juara teapi untuk memenangi piala pada setiap tahun."

Arteta sudah membawa Arsenal memenangi Piasa FA dan Piala Liga sejak membimbing kelab itu bermula 2019.

Arteta akan berusaha memperkuatkan skuad Gunners kerana beliau mempunyai sasaran mahu memenangi trofi pada musim hadapan.

"Ia bergantung kepada banyak faktor. Ramai pemain akan pulang selepas tamat kontrak pinjaman mereka dan komitmen yang kami masih ada dengan pemain sedia ada.

"Terdapat banyak tanda tanya, tetapi inilah bola sepak. Berita baiknya ialah segala-galanya jelas. Tapi perancangan tidak akan menjadi jika anda tidak mula melaksanakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 5:28 PM