SUASANA dalam khemah di Mina yang bakal dipasang permaidani penuh.
SUASANA dalam khemah di Mina yang bakal dipasang permaidani penuh.
Husain Jahit


Makkah: Jemaah haji bagi musim tahun ini akan menikmati beberapa pembaharuan dari segi kemudahan apabila Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerja sama syarikat Masyariq Holdings membuat beberapa penambahbaikan perkhemahan demi menambah keselesaan jemaah haji ketika di Arafah dan Mina.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, penambahbaikan itu termasuk penambahan kemudahan tandas, pendingin hawa dan kemudahan di dalam khemah yang lebih baik serta berkualiti berbanding tahun lalu.

"Beberapa kemudahan di kedua-dua perkhemahan iaitu di Mina dan Arafah seperti kafeteria yang lebih teratur dengan minuman panas dan sejuk disediakan di setiap sudut khemah dengan lebih teratur berbanding sebelum ini.

"Setakat ini kerja naik taraf segala kemudahan di Mina dan Arafah mencapai tahap terbaik dan hampir siap iaitu masing-masing 70 dan 80 peratus," katanya kepada Petugas Media TH, selepas mengadakan lawatan tapak ke Arafah danMina, malam kelmarin.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah al-Masyariq al Masiyah, Ali Hussein Al Bundugi yang banyak memberi penerangan kepada Syed Saleh.

Masyariq Holdings adalah syarikat yang dipertanggungjawabkan hasil perbincangan sejak tahun lalu lagi untuk memastikan semua kemudahan ini menepati kehendak dan dijamin siap sepenuhnya sebelum hari wukuf.

Syed Saleh berkata, selain menambah bilangan tandas pihak Masyariq juga ada menyediakan tangki air tambahan untuk memastikan bekalan air tidak terputus, bagi mengelakkan kegelisahan dalam kalangan jemaah.

"Di Mina, dinding khemah dibuat daripada papan Gypsom yang lebih kukuh dan boleh menyerap haba bagi mengurangkan rasa panas, permaidani lebih tebal yang menggunakan kaedah hujung ke hujung berbanding tahun lalu yang menggunakan permaidani sekeping-sekeping.

"Untuk memastikan jemaah haji lebih selesa dalam cuaca panas, lebih banyak pendingin hawa dipasang di khemah sebagai tambahan kepada pendingin hawa berpusat yang dipasang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

"Faktor itu membolehkan jemaah berasa lebih selesa dan boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sahaja. Penambahbaikan ini hanya dapat dirasai oleh jemaah haji Malaysia sahaja," katanya.

Beliau berkata, kesemua kemudahan tambahan itu dilihat setaraf dengan kemudahan yang diberikan kepada jemaah pakej sekali gus menunjukkan TH dan Masyariq benar-benar serius memberi keselesaan kepada jemaah bagi membolehkan mereka menumpukan kepada ibadah.

Menurutnya, kerjasama dengan pihak Masyariq juga membolehkan Malaysia menjadi negara paling awal menyiapkan semua kontrak perjanjian untuk dihantar kepada pihak berkuasa Arab Saudi, lantas diberi penghormatan untuk menjadi negara pertama memilih lokasi tapak perkhemahan.

"Di Arafah, kita memilih lokasi di bahagian hujung yang berdekatan dengan Muzdalifah, manakala di Mina pula kita memilih tapak perkhidmatan yang berhampiran dengan terowong untuk memudahkan jemaah pergi melontar ke jamrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 11:12 PM