AZIZULHASNI tetap waspada dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapinya nanti. FOTO Bernama
AZIZULHASNI tetap waspada dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapinya nanti. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang akan bersara dengan tenang sekiranya berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula Julai ini.

Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 36 tahun itu berkata, menghadiahkan emas Olimpik sulung negara kepada seluruh rakyat Malaysia adalah perancangannya di Paris.

Namun, juara dunia keirin 2017 itu tetap waspada dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapinya nanti termasuk taktikal yang luar biasa dan 'tidak masuk akal' daripada pelumba lain.

"Kalau menang emas sudah tentu itu hadiah untuk Malaysia dan semua, dan saya pun boleh bersara dengan senyum lebar, itulah perancangannya,

"Tetapi kita tak tahu apa yang akan berlaku, macam contoh di Tokyo saya berada dalam keadaan baik, suku akhir dan separuh akhir memang saya menang walaupun belum bagi 100 peratus tetapi bila di final walaupun saya yakin boleh menang, ada pula pelumba yang buat taktikal luar biasa," katanya.

Pemenang gangsa acara keirin pada edisi 2016 di Rio de Janeiro itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis minum petang bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam dan bekas Pengerusi yayasan Sime Darby (YSD) di kediamannya di Bukit Tunku di sini, hari ini.

Sebagai rekod, pada aksi final keirin di Tokyo Azizulhasni dilihat mempunyai peluang cerah untuk merangkul emas, namun percaturan pelumba Australia, Matthew Glaetzer pada final keirin memberikan kelebihan buat pelumba Great Britain, Jason Kenny untuk melakukan pecutan lebih awal.

Situasi itu sekali gus menafikan peluang Azizulhasni untuk merangkul emas biarpun dilihat memberikan segala-galanya bagi merapatkan jurang dengan Kenny yang akhirnya terlebih dahulu melintasi garisan penamat.

Terdahulu, Azizulhasni dan dua lagi pelumba negara ke Paris iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri diraikan dalam majlis bersama Tun Musa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pengerusi YSD Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar yang juga bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan John Beasley serta wakil-wakil badan korporat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 10:36 PM