FITRI (kanan) membuka jaringan buat Malaysia hari ini. FOTO Persekutuan Hoki Antarabangsa
FITRI (kanan) membuka jaringan buat Malaysia hari ini. FOTO Persekutuan Hoki Antarabangsa
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad Speedy Tigers melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Negara-Negara dengan mengatasi Kanada 4-2 di Stadium Nasional Gniezno, Poland, hari ini.

Ia adalah kemenangan sulung skuad bimbingan Sarjit Singh dalam saingan itu selepas seri 4-4 dalam perlawanan pembukaan menentang Pakistan dan tewas 1-3 kepada Perancis pada perlawanan kedua sebelum ini.

Keputusan dilakar itu menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga berkongsi empat mata dengan Pakistan di kedudukan kedua hanya dipisahkan dengan perbezaan gol yang besar.

Bagaimanapun, Perancis, selaku pendahulu Kumpulan B dengan enam mata akan menentang Pakistan (empat mata) dalam aksi pelengkap kumpulan awal pagi esok.

Mengikut format, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Skuad hoki lelaki negara kini perlu mengharapkan tuah supaya Perancis membelasah Pakistan dengan jumlah jaringan besar untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Pada perlawanan pelengkap kumpulan hari ini, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol masing-masing menerusi jaringan padang Fitri Saari pada minit kedua dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal selang empat minit kemudian.

Malaysia menambah derita Kanada apabila terus merobek gawang lawan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22 oleh Syed Syafiq Mohd Cholan.

Kanada bangkit memecah kebuntuan gol mereka pada minit ke-41 hasil jaringan Dhillon Rhopkanwar namun Muhajir Abdul Rauf menggandakan jaringan buat negara selang seminit kemudian.

Kanada berhasil menambah jaringan pada minit ke-51 menerusi Mansarovar Sidhu sekali gus terpaksa akur mengakhiri saingan kumpulan di tangga tercorot tanpa memungut sebarang mata.

Kejohanan itu menampilkan dua kumpulan iaitu lima dalam Kumpulan A (New Zealand, Poland, Austria, Afrika Selatan dan Korea Selatan) dan empat negara dalam Kumpulan B.

Pasukan tempat ketiga dan keempat daripada setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kedudukan lima hingga kelapan manakala perlawanan separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini dan final hari berikutnya.

Juara kejohanan ini berpeluang beraksi pada Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 12:30 AM