PEMAIN Inter meraikan kejayaan mengetepikan Porto untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara. FOTO AP
PEMAIN Inter meraikan kejayaan mengetepikan Porto untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara. FOTO AP
Reuters

Porto: Inter Milan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam lebih sedekad selepas terselamat daripada tekanan lewat Porto untuk mencatat keputusan seri 0-0 yang membawa mereka melalui kemenangan agregat 1-0.

Ia adalah malam yang mengecewakan buat penyokong tuan rumah di Stadium Dragao ketika juara Portugal itu cuba untuk menghapuskan defisit kecil daripada perlawanan pertama di Itali.

Pasukan Inter yang berdisiplin kelihatan berpuas hati untuk mengekalkan gol pendahuluan mereka dan tidak berdepan ancaman serius sehingga masa tambahan.

Percubaan Ivan Marcano disekat di garisan gol oleh Denzel Dumfries dan tandukan Mehdi Taremi serta Marko Grujic masing-masing terkena tiang dan palang ketika Porto cuba bangkit.

Pemain pertahanan Pepe dilayangkan kad kuning kedua dan Inter menyertai seteru setempat AC Milan ke suku akhir kali pertama sejak 2006.

Dengan Napoli bermain awal pagi esok dalam perlawanan kedua di laman sendiri menentang Eintracht Frankfurt berbekalkan kelebihan 2-0 yang diperoleh di Jerman, Itali juga berpeluang mempunyai tiga pasukan dalam suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2006.

"Kami mempamerkan permainan yang sangat baik, mereka kekal kompak dan berdepan aksi hebat. Pada bahagian terakhir perlawanan, kami semua menderita bersama-sama, satu penghormatan semua pemain ini," kata jurulatih Inter Simone Inzaghi.

"Dalam bola sepak, nasib agak penting. Dalam perlawanan timbal balik kami layak untuk mara. Kini kami akan bermain di suku akhir dengan penuh keyakinan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 8:21 AM