TURGUNBOEV (kiri) menjaringkan gol pertama Uzbekistan yang menewaskan Thailand 2-1. FOTO REUTERS
TURGUNBOEV (kiri) menjaringkan gol pertama Uzbekistan yang menewaskan Thailand 2-1. FOTO REUTERS
AFP

Doha: Uzbekistan akan berdepan tuan rumah yang juga juara bertahan, Qatar di suku akhir Piala Asia selepas penyerang sensasi, Abbosbek Fayzullaev menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Thailand, malam ini.

Uzbekistan dianggap sebagai kuda hitam untuk mencabar gelaran dan berada di depan pada babak pertama menerusi Azizbek Turgunboev.

Thailand yang juga pasukan ranking paling rendah masih bersaing menyamakan kedudukan pada minit ke-60 dengan jaringan menarik jarak jauh oleh pemain gantian, Supachok Sarachat.

Uzbekistan dilihat lebih tersusun dan bertenaga berada di depan pada pertengahan babak kedua apabila pemain sayap CSKA Moscow, Fayzullaev, 20, merembat bola dari luar kotak penalti.

Kali ini, Thailand gagal mendapatkan gol penyamaan walaupun memberi tekanan sehingga saat akhir perlawanan.

Semalam, Qatar menempah tempat ke suku akhir selepas menang 2-1 ke atas Palestin.

Thailand adalah pasukan underdogs, tetapi tidak dibolosi dalam tiga aksi peringkat kumpulan apabila mereka menduduki tangga kedua di belakang Arab Saudi.

Oston Urunov mempunyai tiga peluang untuk merobek benteng Thailand dalam 25 minit awal, selain penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai turut menafikan percubaan Jaloliddin Masharipov.

Thailand dilihat kurang bertenaga dan hanya menunggu masa untuk bolos dan Uzbekistan akhirnya berada di depan pada minit ke-37 apabila Turgunboev mendada bola di dalam kotak penalti sebelum menolaknya melepasi kaki Patiwat.

Ia adalah jaringan keduanya dalam kejohanan ini dan dianggap antara jaringan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 9:51 PM