SHODIEV (terbaring) ledak  gol ketika menentang Arab Saudi.
SHODIEV (terbaring) ledak gol ketika menentang Arab Saudi.
AFP

Melbourne: Uzbekistan menempah tiket ke suku akhir Piala Asia selepas menewaskan Arab Saudi 3-1 yang menyaksikan gol tandukan Vokhid Shodiev membantu mereka melepasi halangan getir itu.

Jaringan pendahuluan dramatik oleh pemain gantian itu hadir selepas 70 minit perlawanan yang diselubungi kontroversi apabila Arab Saudi dihadiahkan sepakan penalti bagi memadam jaringan awal Sardov Rashidov yang muncul wira dengan ledakan dua gol.

Uzbekistan yang mara ke separuh akhir pada edisi terakhir Piala Asia 2011 akan berdepan Korea Selatan pada suku akhir Khamis ini manakala juara tiga kali, Arab Saudi tersingkir di peringkat kumpulan, situasi sama dialami empat tahun lalu.

Insiden panas berlaku di tepi padang selepas Rashidov menghasilkan gol menerusi serangan pantas pada minit ke-79 di Melbourne apabila pemain gantian Uzbek menari di depan bangku simpanan Arab Saudi bagi meraikan jaringan itu.

Arab Saudi berpeluang melakar seri bagi menyertai juara Kumpulan B, China ke pusingan kalah mati selepas pengadil Australia, Ben Williams menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Mohammed Al Sahlawi.

Pengadil itu yang menjadi mangsa kritikan jurulatih Iran Carlos Queiroz pada awal kejohanan memberikan sepakan penalti apabila mendapati Vitaliy Denisov menjatuhkan penyerang Naif Hazazi.

Namun, menerusi tayangan video menyaksikan Hazazi terjatuh tanpa sebarang kekasaran oleh Denisov.

Beberapa minit kemudian, Williams yang menjadi salah seorang pengadil Piala Dunia tahun lalu membatalkan gol Uzbekistan tanpa sebab yang jelas, sekali gus mencetuskan kemarahan pemain berjersi putih di atas padang.

Rashidov membuka tirai jaringan selepas dua minit apabila bijak mengambil peluang kesilapan pertahanan Arab Saudi dengan rembatan melepasi penjaga gol Waleed Abdullah.

Bagaimanapun, Shodiev memainkan watak penting untuk Uzbekistan apabila melonjak tinggi untuk menanduk bola hantaran Shavkatjon Mulladjanov sebelum berlari ke penjuru padang meraikan jaringan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:48 AM