PEMAIN negara mudah belasah Uzbekistan dalam kempen Piala Remaja Asia. FOTO AHF
PEMAIN negara mudah belasah Uzbekistan dalam kempen Piala Remaja Asia. FOTO AHF
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyakit mudah leka ketika mendahului perlawanan masih menghantui skuad remaja hoki lelaki negara hingga dihukum oleh jaringan lawan pada saat akhir saingan.

Situasi terbabit diakui pengendali skuad hoki remaja negara Muhammad Amin Rahim yang melihat satu jaringan daripada pasukan Uzbekistan pada perlawanan pertama kempen Piala Remaja Asia malam tadi memberi peringatan bahawa kubu negara mudah dirobek walaupun lawan berstatus pasukan kerdil.

Walaupun pertemuan itu berakhir dengan kemenangan 8-1 namun Muhammad Amin akan melakukan 'bedah siasat' bagi melihat kembali kelemahan pasukan sebelum turun beraksi menentang Bangladesh esok.

"Secara keseluruhan, pemain beraksi dengan baik lapan gol masing-masing hasil daripada pukulan sudut penalti dan jaringan padang. Namun, perkara utama adalah kita membenarkan Uzbekistan menjaringkan satu gol.

"Kita kena lihat kembali bagaimana Uzbekistan boleh menjaringkan gol itu. Apa yang saya lihat jaringan itu adalah disebabkan kelekaan pemain sebelum dihukum dengan serangan kilat lawan.

"Oleh itu, kita akan perbaiki setiap kelemahan itu supaya mampu mencipta keputusan positif pada pertemuan seterusnya bertemu Bangladesh," katanya.

Terdahulu, skuad hoki remaja negara memulakan kempen Piala Remaja Asia dengan cemerlang apabila membelasah pasukan Uzbekistan 8-1 dalam aksi pertama Kumpulan B malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Kompleks Belia Kebudayaan dan Hiburan Sultan Qaboos, Oman, skuad berpesta gol menerusi hatrik T Perabu sebelum pemain lain iaitu Alfarico Liau, Shahmie Irfan Suhaimi, Che Nur Aqilrullah, Mughni Kamal dan Adam Ashraf turut mencetak nama sebegai penjaring.

Uzbekistan memperoleh gol saguhati lima minit sebelum perlawanan ditamatkan apabila Shavkatjin Kakhramonov meledak menerusi gol padang sekali gus saingan berakhir dengan 8-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:08 PM