YAMAL terus menyerlah bersama Sepanyol ledak gol untuk membantu pasukan itu menang mengatasi Cyprus. -FOTO AFP
YAMAL terus menyerlah bersama Sepanyol ledak gol untuk membantu pasukan itu menang mengatasi Cyprus. -FOTO AFP
AFP

Paris: Hungary dan Slovakia menempah tiket mereka untuk Euro 2024 ketika pemain sensasi berusia 16 tahun, Lamine Yamal sekali lagi meledak untuk Sepanyol yang mengesahkan tempat kelayakan Euro 2024 selepas kemenangan 3-1 ke atas Cyprus dalam aksi Kumpulan A .

Keputusan itu meletakkan Sepanyol 18 mata dengan satu lagi perlawanan dalam tangan, dua mata di depan Scotland yang menghuni tangga kedua, yang turut layak selepas seri 2-2 di Georgia.

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente merehatkan beberapa tonggak di Cyprus dan barisan pemain simpanannya tidak bermasalah untuk memastikan kemenangan, dengan Lamine Yamal, 16, membuka jaringan seawal minit kelima.

"Saya gembira dapat membantu pasukan dan untuk gol cantik ini," kata Yamal.

Ia adalah gol kedua Yamal bersama Sepanyol, selepas bintang muda Barcelona itu menjadi pemain termuda negara berkenaan menjaringkan gol pada usia 16 tahun 57 hari ketika membuat penampilan pertama menentang Georgia dalam kempen kelayakan Euro 2024 pada September lalu.

Kapten Real Sociedad, Mikel Oyarzabal meledak gol pada minit ke-22 dan penyerang Real Madrid, Joselu melengkapkan kemenangan enam minit kemudian.

Sementara itu Hungary menjamin tempat mereka ke pusingan akhir di Jerman apabila gol sendiri daripada pemain Bulgaria, Alex Petkov pada masa kecederaan membolehkan mereka seri 2-2 di Sofia.

Pelawat hanya memerlukan satu mata untuk layak namun ketinggalan 2-1 sebelum bola terkena kepala Petkov menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-97 dalam penyudah paling dramatik.

Pemain Hungary melonjak kegembiraan di penghujung perlawanan yang dimainkan di stadium kosong kerana bimbang protes terhadap ketua persekutuan bola sepak Bulgaria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 11:14 AM