YAMAL menjadi pemain sulung termuda Barcelona pada usia 15 tahun dan 290 hari. FOTO AFP
YAMAL menjadi pemain sulung termuda Barcelona pada usia 15 tahun dan 290 hari. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Pemain remaja Barcelona, Lamine Yamal menyambung kontraknya dengan gergasi Sepanyol itu sehingga 2026.

Perjanjian baharu yang ditandatangani pemain berusia 16 tahun itu termasuk klausa pelepasan bernilai €1 bilion (RM4.95 bilion), sama seperti yang dibuat sejak kebelakangan ini untuk bintang muda kelab yang lain seperti Gavi dan Pedri.

Ansu Fati, yang kini dipinjamkan ke Brighton, juga mempunyai klausa yang sepadan dalam kontraknya.

Yamal menjadi pemain sulung termuda Barcelona pada usia 15 tahun dan 290 hari menentang Real Betis pada April musim lalu.

Musim ini dia menjadi pemain kesebelasan utama termuda La Liga pada abad ke-21, dan juga pemain paling muda melakukan bantuan jaringan dalam jangka masa yang sama.

Yamal masih belum menjaringkan gol untuk Barcelona tetapi jika dia melakukannya musim ini, dia boleh mengatasi rekod kelab yang dilakukan Fati - atau rekod keseluruhan untuk penjaring termuda La Liga, milik Fabrice Olinga dari Malaga pada usia 16 tahun dan 98 hari.

Bulan lalu dia juga menjadi pemain dan penjaring gol termuda Sepanyol ketika La Roja membelasah Georgia 7-1 dalam perlawanan kelayakan Euro 2024

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 11:05 AM