GAVI tidak dapat menahan sebak selepas mengalami kecederaan lutut. FOTO AFP
GAVI tidak dapat menahan sebak selepas mengalami kecederaan lutut. FOTO AFP
Reuters

Valladolid: Pemain Sepanyol, Robin Le Normand dan Ferran Torres meledak jaringan sebelum gol sendiri Luka Lochoshvili melengkapkan kemenangan 3-1 tuan rumah ke atas Georgia dalam aksi terakhir kelayakan Euro 2024 Kumpulan A.

Sepanyol yang sudah pun mengesahkan tempat ke kejohanan berkenaan, merekodkan 21 mata selepas tujuh kemenangan dalam lapan perlawanan.

Mereka hanya tumpas kepada pasukan tangga kedua, Scotland yang juga sama-sama layak apabila mengumpul 17 mata ketika seri 3-3 dengan Norway.

Georgia menamatkan saingan di tangga keempat dengan mengumpul lapan mata, tiga mata di belakang Norway yang menghuni tangga ketiga, manakala Cyprus di tempat tercorot tanpa sebarang mata.

Sepanyol mendahului pada minit keempat selepas sepakan percuma Torres di sebelah kiri ditanduk Le Normand untuk gol antarabangsa pertamanya.

Georgia menyamakan kedudukan enam minit kemudian hasil penyudah mudah daripada penyerang, Khvicha Kvaratskhelia sebelum Sepanyol mendapat satu lagi tamparan beberapa saat kemudian apabila pemain tengah Barcelona, Gavi meninggalkan padang dengan tangisan kerana kecederaan lutut.​

Tuan rumah memulihkan kelebihan mereka 10 minit memasuki separuh masa kedua dengan tandukan Torres sebelum Lochoshvili dari Georgia memasukkan bola ke gawang sendiri pada minit ke-72.

"Ini adalah saat yang sangat sukar dan sangat sukar," kata jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengenai keadaan Gavi.

"Kami dimusnahkan. Bola sepak adalah sukan berisiko dan ini adalah sisi hodoh sukan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 9:47 AM