ALVARO Morata (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
ALVARO Morata (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
AFP

Berlin: Sepanyol bermula cemerlang di Euro 2024 apabila jaringan Alvaro Morata membantu menewaskan Croatia 3-0 di Berlin, sebentar tadi dengan Lamine Yamal melakar sejarah menjadi pemain termuda beraksi pertandingan itu.

Juara Eropah tiga kali itu sering didakwa tidak mempunyai ketajaman di bahagian serangan, tetapi Sepanyol mempamerkan aksi yang menarik perhatian di Olympiastadion untuk mengecewakan Croatia.

Morata memecah kebuntuan pada minit ke-29 dengan gol ketujuhnya di Euro, berkongsi di kedudukan ketiga dalam senarai penjaring sepanjang zaman bersama-sama Alan Shearer dan Antoine Griezmann.

Fabian Ruiz menambah gol kedua tidak lama selepas itu menerusi serangan individu yang menarik.

Yamal menjadi arkitek kepada jaringan Dani Carvajal pada hujung babak pertama sekali gus membunuh permainan dengan penyerang Croatia, Bruno Petkovic gagal menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan.

"Sangat gembira dengan kemenangan ini, lebih-lebih lagi pada penampilan sulung saya (di Euro)," kata Yamal kepada La 1.

"Kami mempunyai keyakinan, kami adalah pasukan yang sangat cekap dan berjaya membuktikannya. Kami gembira kerana semua usaha sejak beberapa bulan lalu membuahkan hasil," katanya lagi

Seperti ulangan final Liga Negara-Negara tahun lalu yang dimenangi oleh Sepanyol menerusi sepakan penalti selepas seri 0-0, La Roja menunjukkan mereka mampu memberi saingan untuk merebut gelaran Kejuaraan Eropah kali keempat.

Croatia yang pernah mara ke separuh akhir Piala Dunia, bagaimanapun masih berpeluang mara ke pusingan 16 terakhir buat kali kelima berturut-turut apabila bakal bertemu Albania dan penyandang juara, Itali dalam Kumpulan B.

Luka Modric, yang sering menjadi inspirasi kepada Croatia, digantikan pada pertengahan babak kedua oleh jurulatih, Zlatko Dalic.

Bos Sepanyol, l Luis de la Fuente menamakan kesebelasan utama yang menarik, termasuk pemain sayap, Nico Williams dan Lamine Yamal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 2:24 AM