JDT sah juara Liga Super walaupun hanya seri dengan PDRM. FOTO Johor Southern Tigers
JDT sah juara Liga Super walaupun hanya seri dengan PDRM. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) berazam menoktah kejuaraan Liga Super kali ke-10 berturut-turut apabila berdepan PDRM di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, sepatutnya kejuaraan liga dikecapi lebih awal ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 26 Ogos lalu tapi tertangguh selepas mencatat keputusan seri 3-3.

"Secara matematik, kita hanya perlu seri dengan PDRM FC tapi itu bukan yang kita mahu sebaliknya menang untuk menjulang piala kali ke-10 berturut-turut dan pastinya kami enggan melepas peluang terbaik cipta sejarah di hadapan penyokong sendiri.

"Sememangnya kami tidak sabar untuk perlawanan itu kerana sasaran menang liga juara semakin hampir tapi kami tetap berhati-hati dengan penampilan pasukan lawan yang mula menunjukkan peningkatan di bawah jurulatih baharu (Datuk Yunus Aliff).

"Saya selalu percaya pemain harus mengambil peluang untuk beraksi dengan corak permainan konsisten dan sentiasa berada dalam `mood' terbaik apabila bermain di padang malah mereka tampak tidak berdepan masalah mempratikkan taktikal disiplin yang dirancang."

Pengendali kelahiran Argentina itu tidak menolak akan membariskan kesebelasan terbaik memandangkan selepas aksi liga, skuad Harimau Selatan akan ke Thailand untuk mengharungi aksi kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang BG Pathum United FC di Stadium Pathum Thani, Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 2:11 PM