BARISAN pemain JDT sedang menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT sedang menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) meletak sasaran untuk memburu kemenangan ke-11 berturut-turut pada aksi terakhir Liga Super apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, kemenangan amat dicari bagi memastikan sambutan kejuaraan selepas perlawanan itu tidak terjejas tatkala ingin menamatkan saingan liga dengan pencapaian rekod baharu pada musim ini.

"Sudah tentu kami mahu tamatkan saingan liga dengan kemenangan malah kami ingin merekodkan pencapaian terbaik pada musim ini dengan 11 kemenangan berturut-turut tanpa tewas kerana di JDT kami mahu mencipta kejayaan.

"Apapun, kita tidak boleh terlalu selesa apabila berdepan KL City FC kerana pasukan itu yang dibimbing Bojan (Hodak) memiliki barisan pemain yang berkualiti dan kami gagal untuk tewaskan pasukan itu selepas terikat seri 1-1 pada aksi pusingan pertama.

"Kami mahu tebus kegagalan mencipta kemenangan pada aksi pusingan pertama dan saya akan turunkan barisan pemain terbaik bagi mengimbangi kekuatan KL City FC," katanya.

Yang pasti, kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC pada pertembungan 4 September lalu, hasil jaringan tunggal Shane Lowry akan memberi lebih motivasi buat pemain JDT bagi mengakhiri kempen liga dengan tiga mata tatkala berstatus juara lliga lapan musim berturut-turut.

Bagi Mora, kejayaan itu adalah hasil usaha setiap pemain yang berkerja keras bagi merealisasikan sasaran pada musim ini.

Tambahnya, penjaring terbanyak pasukan itu, Bergson Da Silva tampak berusaha untuk memburu status selaku penjaring terbanyak liga walaupun agak sukar selepas ketinggalan dua gol dengan pemain Selangor FC, Ifedayo Omosuyi yang sudah menghimpun 25 gol.

"Kita akan bantu Bergson dan berharap apa yang dihajatinya tercapai. Apapun kami tetap akan beraksi secara kolektif dengan corak permainan berpasukan kerana itu adalah falsafah permainan bola sepak yang diterapkan di JDT," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 1:12 PM