JATURAPATTARAPONG (kiri) pada sidang media bersama kapten BG Pathum, Sarach Yooyen menjelang perlawanan menentang JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
JATURAPATTARAPONG (kiri) pada sidang media bersama kapten BG Pathum, Sarach Yooyen menjelang perlawanan menentang JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Meskipun pertembungan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya dianggap pelengkap jadual, BG Pathum United FC tetap mahu memburu kemenangan pertama pada aksi terakhir Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), petang esok.

Pengendali BG Pathum, Surachai Jaturapattarapong berkata, kejayaan membawa pulang tiga mata itu sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan kelab dari Thailand itu pada kempen ACL musim ini selepas gagal mengutip sebarang mata berikutan tewas semua lima perlawanan awal.

Bagaimanapun, Jaturapattarapong mengakui hasrat itu bukan semudah kata-kata kerana sedar keupayaan JDT selaku pasukan hebat dan dibarisi pemain berkualiti seperti Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman Hanapi.

"Kami akan memberi tumpuan penuh kepada ketiga-tiga pemain ini kerana mereka mempunyai sentuhan penyudah yang tajam.

"Kami tahu kemampuan Heberty yang pernah beraksi di Liga Thailand manakala Bergson adalah penjaring terbanyak pasukan, Arif Aiman pula kami lihat sebagai pemain bintang yang menjana jentera serangan JDT.

"Arif Aiman beraksi dengan sangat baik dalam pertemuan sebelum ini di Thailand apabila dia mengkucar-kacirkan benteng pertahanan dan mencetak dua gol, saya kira tanpa kelibat ketiga-tiga mereka, kekuatan JDT akan menurun 30 atau 40 peratus," katanya pada sidang media, hari ini.

Pengendali kelab The Rabbits itu berkata, pasukannya sudah menjalankan persiapan rapi dan merencana perancangan ampuh untuk mengutip tiga mata.

Katanya, kemenangan 2-1 menentang Ratchaburi FC pada Sabtu lalu memberi suntikan semangat untuk meneruskan rentak kemenangan dan aksi menentang JDT adalah medan terbaik bagi memburu kemenangan pertama dalam saingan ACL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:39 PM