AFIQ memberi cabaran terhadap pemain Kawasaki Frontale. -FOTO Ihsan Johor Southern Tiger.
AFIQ memberi cabaran terhadap pemain Kawasaki Frontale. -FOTO Ihsan Johor Southern Tiger.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari anggap kekalahan 0-5 yang dialami kepada Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Todokori, kelmarin berpunca daripada kegagalan barisan pemainnya mengimbangi kekuatan kelab dari Jepun itu.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad Harimau Selatan gagal mengulangi pencapaian pada musim lalu mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Mereka akan berdepan kelab dari Thailand, BG Pathum United FC bagi melengkap jadual perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 12 Disember ini.

Solari berkata, apa yang terjadi dalam aksi berintensiti tinggi itu perit untuk ditelan tapi terpaksa menerima hakikat skuad kendalian Toru Oniki berada di dalam kelas tersendiri selepas menoktahkan perjalanan JDT dalam saingan elit Asia itu.

"Sememangnya ia malam yang sukar buat kami kerana kami tidak bermain seperti yang dikehendaki dan ini juga bermaksud kami sudah tersingkir dari saingan ACL walaupun masih ada satu lagi perlawanan berbaki.

"Kami mempunyai keyakinan terhadap perlawanan menentang Kawasaki Frontale tapi kami tidak bermain seperti yang sepatutnya apabila kerap hilang bola dan gagal berfungsi dengan baik.

Dengan berakhirnya perjuangan Harimau Selatan, kini skuad kendalian Solari akan kembali untuk memberi tumpuan pada baki dua perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC, 3 Disember ini dan Penang FC, 17 Disember ini.

Selain itu, tumpuan juga akan dibuat juara liga 10 musim berturut-turut apabila bakal berdepan Terengganu FC pada pentas final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalll, 8 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 12:41 PM