JDT akan bertemu BG Pathum United, malam esok. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
JDT akan bertemu BG Pathum United, malam esok. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) memasang impian enggan kecundang buat kali kedua apabila berdepan kelab dari Thailand, BG Pathum United dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani di Bangkok, malam esok.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama saingan ACL, ia beri pengertian cukup bermakna berhubung kekalahan dan memberi motivasi buat setiap pemain supaya bangkit dengan lebih mantap.

Katanya, persiapan yang dilakukan berperingkat kerana tumpuan pasti mahu menang dalam saingan Liga Super dan kemudian akan memberi sepenuh konsentrasi untuk aksi ACL dan mahu tampil lebih baik selepas tumpas pada aksi pertama.

"Kita tahu akan berdepan aksi sukar apabila kami bertandang ke gelanggang lawan dan menentang pasukan yang memiliki barisan pemain yang berkualiti yang mempratikkan corak permainan mantap.

"Saya jangkakan ia perlawanan menarik kerana kami juga akan tampil permainan berintensiti tinggi dan meningkatkan lagi disiplin taktikal bukan sahaja bagi mengimbangi kekuatan pasukan lawan malah mahu tampil lebih agresif dalam usaha memburu kemenangan pertama.

"Seperti yang saya katakan, kami di JDT mahukan kemenangan dan kami akan bangkit dengan lebih mantap selain mahu mengekalkan momentum permainan dan tiga mata pertama seandainya jadi kenyataan amat penting bagi kami," katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu menambah adalah penting untuk menggabungkan segala perancangan taktikal di kalangan kakitangan kejurulatihan bagi membentuk dimensi permainan yang lebih konsisten dan ianya sering dipratikkan sebelum berdepan dengan mana-mana pasukan.

Ditanya mengenai status Jordi Amat yang tidak diturunkan ketika menentang Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir Piala Malaysia dan terbaru menentang PDRM dalam saingan liga, Solari berkata kecederaan yang dialami pemain pertahanan JDT itu sudah pulih.

"Jordi sudah bersama rakan sepasukan menjalani latihan dan dia tampak bersedia dan berkeyakinan memberi persembahan terbaik menentang BG Pathum United manakala kecederaan yang dialami Fernando (Forestieri) juga serius malah mula menjalani latihan.

"Apa yang bolehkan katakan, JDT akan turun kesebelasan terbaik dan akan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa pulang tiga mata dan apa jua kelemahan terutama aspek serangan dan bertahan sudah diperkemaskan," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 5:32 PM