NKETIAH turut cemerlang bersama Arsenal. FOTO Twitter
NKETIAH turut cemerlang bersama Arsenal. FOTO Twitter
Reuters

London: Penyerang Arsenal Eddie Nketiah memilih beraksi untuk England berbanding Ghana kerana berasakan ia 'kemajuan semula jadi' dalam kariernya.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, dia akan tampil kali pertama di peringkat senior bersama Three Lions pada masa yang tepat.

Nketiah menjadi tumpuan Ghana yang pengurusnya Chris Hughton mengesahkan bulan lalu mereka menghubungi penyerang itu.

Namun panggilan England terlalu sukar ditolak, kata Nketiah."Ia benar-benar saat membanggakan buat saya, keluarga dan rakan-rakan," kata Nketiah kepada wartawan awal pagi tadi.

"Ia perjalanan yang agak panjang untuk sampai di sini, banyak turun naik. Sebaik dapat panggilan, ia sukar ditolak yang saya anggap kemajuan semula jadi untuk diri saya pada peringkat ini."

Nketiah boleh beraksi untuk Ghana kerana ibu bapanya rakyat negara itu.

Bagaimanapun dia muncul pemain utama skuad Bawah 21 Tahun England dan menjadi penjaring terbanyak dengan 16 gol manakala meledak dua jaringan dalam empat perlawanan pertama bersama Arsenal.

"Saya bertambah baik berbanding dua atau tiga tahun lalu," katanya ketika sidang media di St George's Park, pusat latihan Three Lions.

"Saya hadir pada masa yang tepat. Saya yakin dan bersedia tetapi masih perlu tingkatkan prestasi."

Dalam saingan kelayakan Euro 2024, England selaku pendahulu Kumpulan C menang kesemua empat perlawanan.

Mereka akan menentang Ukraine di Wroclaw, Poland Sabtu ini sebelum menentang Scotland dalam aksi persahabatan pada Selasa di Hampden Park.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:52 AM